Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kemuka janji tidak jelas bukti PH ketandusan idea

11 MAC: Pakatan Harapan yang diketuai DAP dianggap ketandusan idea untuk mentadbir negara apabila mengemukakan janji-janji yang tidak jelas kepada rakyat di sebalik manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Perkara itu ditegaskan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Selangor, Haslin Hasaan apabila beliau menyifatkan manifesto bersama PKR, DAP, PAN dan PPBM itu bersifat umum dan hanya untuk menarik undi semata-mata tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada negara serta rakyat.

Mengambil contoh janji memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST), beliau menanggap perkara itu sukar untuk dilaksanakan oleh Pakatan Harapan kerana hasil yang diperoleh Kerajaan Persekutuan menerusi pelaksanaan sistem percukaian itu adalah tinggi.

“Justeru, adalah mustahil Pakatan Harapan untuk memansuhkan cukai tersebut kerana ia merupakan antara penyumbang hasil terbesar kepada Kerajaan Persekutuan.

“Apabila kita bercakap satu perkara yang besar, langkah untuk memansuhkan GST itu sudah tentunya akan memberi kesan rantaian kepada rakyat, sektor ekonomi yang akhirnya akan kedudukan negara pada masa depan,” katanya memetik laporan UM hari ini.

Pada masa sama, Haslin turut membidas Pakatan Harapan yang dianggap begitu lemah dalam merangka dasar negara apabila gagal mengemukakan mekanisme atau alternatif khusus bagi menggantikan GST.

Walaupun Pakatan Harapan mahu memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), beliau bagaimanapun menyifatkan ia bukan satu langkah yang praktikal kerana sistem percukaian yang dilaksanakan pada tahun 1972 termasuk semasa era Pengerusi gabungan itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri didapati terdedah dengan pelbagai masalah pertindihan serta ketirisan.

Haslin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat itu turut menegaskan manifesto Pakatan Harapan yang diumumkan pada Khamis lalu itu hanyalah ‘gula-gula’ yang akan memudaratkan rakyat.

“Habis ‘gula-gula’ itu, maka habislah manisnya dan rakyat selepas itu akan sengsara. Malah, sebilangan besar janji-janji dalam manifesto itu telah pun dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini,” ujarnya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 March 2018 1:03 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: