Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kemungkinan krisis air lebih buruk selepas Julai

13 MAC: Kerajaan Selangor diberi tempoh sehingga Julai depan untuk bersetuju melaksanakan proses migrasi bagi mengelakkan krisis air di negeri itu menjadi lebih buruk.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata jika Selangor enggan memberi kata putus, banyak implikasi yang akan berlaku antaranya Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang telah siap menjalani proses pengujian dan pentauliahan tidak dapat digunakan.

“LRA dapat membekalkan 10 peratus margin simpanan air Selangor menyamai 565 juta liter sehari (MLD).

“Sedangkan di masa sekarang, margin simpanan air Selangor kosong dan ini bermakna bekalan air tidak cukup untuk disalurkan ke tempat-tempat yang lain. Apatah lagi di Selangor (penggunaan air) sangat tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Sesi Dialog Transformasi Nasional 50 (TN50) dan Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030 di Universiti Sains Islam Malaysia, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zaini berkata Selangor dan negeri lain yang tidak melaksanakan proses migrasi terpaksa menampung perbelanjaan tinggi untuk pembinaan loji, mengganti paip dan kerja penyelenggaraan lain.

Beliau berkata sekurang-kurangnya RM3 billion ke RM8 billion diperlukan bagi kos pembinaan LRA dan kerja-kerja baik pulih infrastruktur dan tiada syarikat yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sebanyak itu.

“Macam di Selangor, apa yang berlaku ialah mereka melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan kecil seperti menampal paip bocor.

“Sebab itu, apabila paip lama yang berusia lebih 40 tahun tidak diganti, menyebabkan ia pecah dan keadaan menjadi lebih teruk.

“Ini bukan masalah air semata, tetapi masalah margin simpanan air yang tidak mencukupi,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 March 2018 9:28 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: