Kategori Berita Utama

Kenapa Anwar didakwa Seksyen 377B dan Saiful tidak: Peguam Negara

13 FEB: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disabitkan dan dihukum penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan berbanding Seksyen 377C bagi kesalahan lebih berat.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata Kanun Keseksaan memperuntukkan dua keadaan bagi seseorang boleh didakwa bagi meliwat; Seksyen  377B yang menetapkan “dengan atau tanpa kebenaran” bukannya intipati dan Seksyen 377C adalah perbuatan meliwat dilakukan tanpa kebenaran atau paksaan terhadap orang lain.

anwar saiful“Ciri penting lain adalah hukuman iaitu undang-undang mengenakan hukuman minimum lima tahun di bawah Seksyen 377C,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Seksyen 337B tidak menetapkan tempoh penjara minimun, katanya.

Beliau berkata pendakwa raya memilih untuk mendakwa Anwar di bawah Seksyen  337B berdasarkan budi bicara pihak pendakwaan seperti termaktub dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Pendakwa Raya menggunakan budi bicara itu dengan mengambil kira fakta dan keadaan setiap kes dan pastinya bukan secara suka-suka,” katanya.

Gani berkata oleh itu, adalah tidak wajar bagi Presiden Majlis Peguam Christopher Leong untuk menyatakan ketua pembangkang itu sepatutnya lebih wajar didakwa mengikut Seksyen 377C.

“Dilihat seolah-olah presiden Majlis Peguam mencadangkan supaya beliau (Anwar) didakwa mengikut Seksyen 377C bagi kesalahan lebih berat dan akan mendedahkan Anwar Ibrahim kepada hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun,” katanya.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengekalkan penghakiman Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah unit kondominium di Bukit Damansara pada 2008.

Peguam negara dalam kenyataan itu turut menjelaskan persepsi pihak tertentu Anwar didakwa dan disabitkan bagi ‘victimless offence’ atau ‘kesalahan tanpa mangsa’ yang jelas tidak disokong.

“Mohd Saiful Bukhari Azlan ialah individu yang menderita. Beliau  memberikan keterangan bersumpah di dalam mahkamah berhubung perbuatan yang dialaminya untuk direkodkan,” katanya.

Berhubung kenapa Saiful tidak didakwa bagi bersubahat, Gani menjelaskan kes itu sama seperti kes rasuah, iaitu dalam kebanyakan kes rasuah, penerima didakwa manakala pemberi digunakan sebagai saksi terhadap penerima.

Beliau turut menafikan Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang digunakan untuk mendakwa Anwar, jarang digunakan.

Katanya berdasarkan statistik Jabatan Peguam Negara dan polis, sebanyak 171 kes didakwa mengikut seksyen itu dari 2010 hingga 1014, dengan 34 kes didakwa di bawahnya pada tahun lepas.

Sementara sebanyak 489 kes didakwa mengikut Seksyen 337C dalam tempoh lima tahun lepas.

Beliau berkata Anwar diberikan hak untuk mendapat perbicaraan adil dan diberikan semua peluang untuk melaksanakan hak perlembagaannya di mahkamah sepanjang prosiding selama enam tahun setengah. – Bernama

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 February 2015 11:19 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: