Kategori Analisa Isu Semasa

KENAPA MASIH BERGANTUNG KEPADA KOTAK HITAM?

31 MAC: Susulan insiden kehilangan pesawat Boeing 777-200ER, penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS) yang belum ditemui sejak 8 Mac lalu, maka semua pihak sedia maklum, misi mencari kotak hitam yang merakam atau merekodkan segala data penerbangan pesawat berkenaan kelak tentunya beratus kali ganda lebih sukar.

Maka timbul satu persoalan yang kritikal dan kronik – mengapakah industri penerbangan masih menggunakan, malah boleh dikatakan terlalu bergantung kepada teknologi kotak hitam ketika dunia sudah amat maju dalam teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Dalam konteks ini, Malaysia percaya bahawa teknologi ICT boleh memainkan peranan lebih penting dalam industri penerbangan.

Technical How To Recover MH370 wreckageMenteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kesukaran mengesan dan mencari kotak hitam setiap kali berlaku nahas udara seharusnya sudah menjadi perkara yang telah berlalu.

Terutama dengan kemunculan teknologi ‘cloud computing‘, iaitu pembangunan dan penggunaan teknologi komputer dengan menggunakan internet sebagai ruang untuk menyimpan segala data, Ahmad Shabery yakin rakaman data penerbangan pada kotak hitam dalam pesawat kini boleh juga dilakukan di luar pesawat.

“Saya percaya bahawa data daripada pesawat termasuk daripada kotak hitam boleh dihantar secara berterusan dan disimpan di pusat data di bumi. Kita seharusnya boleh mengambil dan menganalisis data ini tanpa perlu mengesan kotak hitam.

“Saya percaya perubahan yang mudah ini mungkin membawa hasil yang berbeza (dalam bidang penerbangan) sekarang,” katanya.

Black BoxAhmad Shabery mengemukakan idea berkenaan dalam kenyataan dasar pada Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia (WTDC) 2014 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu, Ahad.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkaitan dalam industri penerbangan bagi membolehkan idea serta teknologi baru untuk merekod data penerbangan dan memantau situasi dalam kokpit diterokai.

WTDC keenam anjuran ITU berlangsung mulai hari ini sehingga 10 April.

Ia bertujuan merangka program kerja dan garis panduan bagi mendefinisikan persoalan pembangunan telekomunikasi dan menetapkan hala tuju serta panduan bagi program kerja Sektor Pembangunan Telekomunikasi (ITU-D) dalam tempoh empat tahun akan datang.

Kenapa rakaman data penerbangan tidak boleh dibuat di luar pesawat menggunakan teknologi "cloud storing" sama seperti Google Drive, SkyDrive dan lain-lain? - Ahmad Shabery

Kenapa rakaman data penerbangan tidak boleh dibuat di luar pesawat menggunakan teknologi “cloud storing” sama seperti Google Drive, SkyDrive dan lain-lain? – Ahmad Shabery

“Dalam operasi mencari dan menyelamat MH370, atas kemurahan hati, negara-negara sahabat membantu Malaysia dengan peralatan dan penggunaan satelit, teknologi sonar dan radar paling canggih serta sistem pemantauan.

“Mereka juga menghantar kumpulan pakar dalam pelbagai bidang daripada pelbagai pertubuhan antarabangsa,” kata beliau.

Namun penggunaan pelbagai aset, tenaga manusia serta masa 25 buah negara yang tampil membantu Malaysia dalam usaha menjejaki MH370 boleh dijimatkan dan kesimpulan siasatan boleh dibuat lebih pantas jika perubahan dalam teknologi kotak hitam mampu direalisasikan.

Penerbangan MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang dari skrin radar pada awal pagi 8 Mac lalu, ketika menuju ke Beijing.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing jam 6.30 pagi pada hari yang sama.

Misi mencari dan menyelamat (SAR) antarabangsa digerakkan untuk menjejaki pesawat, bermula di Laut China Selatan, kemudian beralih ke Laut Andaman, dan seterusnya di sepanjang dua koridor – utara dan selatan.

Kotak HitamKoridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand, manakala koridor selatan meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi dalam wilayah Australia.

Susulan analisis data satelit yang belum pernah diguna pakai sebelum ini, firma satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Udara UK (AAIB) merumuskan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi, ke barat Perth, Australia.

Pada 24 Mac lalu, 17 hari selepas kehilangan MH370, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 31 March 2014 12:31 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: