Kategori Berita Utama

Kenyataan bekas timbalan menteri biadap dan melampaui batas

19 FEB: Tindakan Pengerusi Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf), P. Waytha Moorthy  mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berundur hanya kerana tidak memenuhi tuntutan beliau, adalah biadap dan melampaui batas.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sikap pemimpin Hindraf itu yang menyalahkan kerajaan khususnya Perdana Menteri adalah mainan politik Waytha Moorthy menteri itu bagi menutup sikapnya yang lebih mementingkan diri sendiri.

Hisham vs Waytha Moorthy“Tindakan beliau selaku Timbalan Menteri yang menuntut semua bajet kerajaan untuk masyarakat India diletakkan di bawah kawalannya mencerminkan sikap tamak dan tidak ikhlas beliau dalam memperjuangkan nasib kaum India secara holistik, seperti yang dilaung-laungkan sebelum ini,” ujar beliau dalam kenyataan pada Rabu.

Ini kenyataan kedua membabitkan menteri Kabinet yang mengecam Waytha Moorthy selepas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Selasa membuat kenyataan serupa selain mendedahkan permintaan pemimpin Hindraf itu yang keterlaluan ketika berada dalam kerajaan.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ramai lagi pemimpin masyarakat dan pertubuhan NGO di Malaysia yang telah memperjuangkan nasib kira-kira dua juta kaum India di negara ini.

“Saya sendiri selaku Ahli Parlimen Sembrong telah banyak membantu kaum India di kawasan saya selama ini,” tegasnya.

Hishammuddin berkata, beliau tidak dapat menerima tindakan Waytha Moorthy menyerang  kerajaan selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Malah katanya, keputusan beliau memilih meletakkan jawatan setelah hanya sembilan bulan dalam pentadbiran merupakan satu perbuatan khianat yang ternyata membelakangkan semangat setiakawan dalam kerajaan.

“Beliau sendiri tidak pernah datang berjumpa dan berbincang dengan saya dalam hal ini, apatah lagi membentangkan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan atau kebajikan kaum India,” ujarnya.

Beliau percaya  Waytha Moorthy masih terpengaruh dengan corak pendekatan politik yang dilakukan oleh Hindraf iaitu melalui desakan dan tekanan.

“Beliau perlu memahami bahawa corak kepimpinan kerajaan Barisan Nasional sentiasa mengamalkan sikap demokrasi dan toleransi tanpa meminggirkan mana-mana kaum di negara ini.

“Peluang berada dalam kabinet kerajaan sepatutnya digunakan sebaik mungkin jika benar-benar beliau ikhlas mahu membantu membela nasib kaum India,” jelas beliau lagi.

Hishammuddin yakin majoriti masyarakat India amat menghargai sumbangan Perdana Menteri dan kerajaan BN kepada mereka serta tidak akan terpengaruh dengan pemimpin berfikiran sempit seperti Waythamoorthy.

Katanya, kerajaan BN, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab sejak dulu lagi telah dan sentiasa berusaha membantu membela masyarakat India tanpa mengira fahaman politik mereka.

Sebagai contoh katanya, dalam usaha membangun dan meningkatkan jumlah sekolah jenis kebangsaan Tamil di negara ini, kerajaan sudah memperuntukkan RM540 juta untuk pembangunan infrastruktur SJKT sejak tahun 2009.

Ini termasuk peruntukan RM100 juta setiap tahun bagi tahun 2012 dan tahun 2013. Kerajaan juga memperuntukkan peruntukan khas RM20 juta kepada 13 SJKT bagi tujuan pembangunan infrastruktur dan penyelengaraan bangunan pada tahun 2013.

Sementara itu, Wytha Moorthy dalam kenyataan balas terhadap Khairy Jamaluddin menuduh hujah Menteteri Belia dan Sukan itu tidak matang dan tidak rasional.

“Bolehkah beliau mengendalikan kementeriannya jika peruntukkan ditarik balik,” persoalnya.

Beliau berkata, Khairy sepatutnya membaca perjanjian persefahaman antara beliau dan Perdana Menteri bagi melihat apa yang Datuk Seri Najib Tun Razak janjikan.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 19 February 2014 6:11 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: