Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pegawai TUDM mengaku tidak bersalah buat kenyataan tanpa izin

7 FEB: Seorang pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan terhadap beliau di Mahkamah Tentera berkaitan dakwaan membuat kenyataan kepada media mengenai dakwat kekal yang digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Mejar Zaidi Ahmad mendukung anaknya di Mahkamah Tentera, Pangkalan TUDM Sungai Besi, Jumaat.

Mejar Zaidi Ahmad mendukung anaknya di Mahkamah Tentera, Pangkalan TUDM Sungai Besi, Jumaat.

Zaidi, 47, juruterbang pesawat pejuang mengaku tidak bersalah setelah kesemua pertuduhan dibacakan oleh Yang Dipertua Mahkamah Tentera, Kolonel Saadon Hasnan, di Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di ibu negara pada Jumaat.

Saadon mengetuai panel enam Hakim Mahkamah Tentera yang  mendengar kes berkenaan.

Ahli panel lain ialah Leftenan Kolonel Zainurin Mohd Dom, Mejar Khuzairi Mohd Arshad, Mejar Khairul Nizan Taib, Mejar S Nadzeer Sallehuddin dan Mejar Noor Azman Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Zaidi, 47, didakwa melanggar perintah Majlis Angkatan Tentera (MAT) No 13 Tahun 1961 dengan membuat kenyataan media bagi menyatakan rasa tidak puas hati berhubung isu dakwat kekal sedangkan perkara itu sepatutnya disiasat melalui saluran pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepala Batas pada 1 Mei 2013.

Bagi pertuduhan ketiga Zaidi yang kini bertugas di Pangkalan Tentera Udara Butterworth, Pulau Pinang, dituduh menyiarkan maklumat rasmi berupa kawat tumpangan keluar kepada media tanpa mendapat kelulusan MAT.

Manakala bagi pertuduhan keempat dan kelima dia didakwa membuat kenyataan media berhubung isu dakwat kekal tanpa mendapatkan kelulusan daripada dan pihak ATM dan Kementerian Pertahanan.

Pertuduhan ketiga hingga kelima didakwa berlaku di Taman Bertam Indah, Kepala Batas pada 3 Mei 2013.

Zaidi juga berdepan dua tuduhan menghantar dua khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur politik atau hasutan, pada 1 Mei 2013 di Pangkalan Udara Butterworth.

Pertuduhan pertama hingga kelima  adalah mengikut Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972, manakala pertuduhan keenam dan ketujuh mengikut Seksyen 51 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Zaidi boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau mana-mana hukuman yang lebih ringan termasuk dibuang kerja, menurut Seksyen 89 akta berkenaan.

Mahkamah menetapkan tiga hari bermula 8 hingga 10 April depan untuk perbicaraan walau pihak pembelaan mengemukakan bantahan awal terhadap tuduhan yang dikenakan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa TUDM Mejar Ahmad Sanusi Ali manakala tertuduh diwakili peguam Syed Iskandar Syed Jaafar Al-Mahdzar.

Syakinah akan beri sokongan penuh kepada suaminya

Syafinah Abdul Hamid akan beri sokongan penuh kepada suaminya.

Zaidi yang sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Memerintah Skuadron ke 12 (pesawat pejuang F-5) sebelum dilucutkan jawatan enggan membuat sebarang ulasan selepas keluar dari mahkamah.

Manakala isteri beliau, Shafinah Abdul Hamid ketika ditemui menyatakan sokongan penuh kepada suaminya.

“Dia (Mejar Zaidi) tahu apa yang akan berlaku jika buat pendedahan itu, tapi baginya itu adalah haknya untuk menyatakan pendiriannya sebagai pengundi,” jawap Shafinah ringkas.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 7 February 2014 9:00 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: