Kategori Berita Utama

Keputusan Hadi tepat pada masa bagi menyelamatkan PAS Selangor

9 MEI: Masakan tiada angin pohon boleh bergoyang, bidalan ini sesuai diberikan kepada PAS susulan tindakan parti itu menamatkan Datuk Iskandar Abdul Samad sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor.

Mungkin alasan rasional yang diberikan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan boleh melindungi kisah sebenar politik parti itu di Selangor.

Tetapi tiada siapa boleh menolak bahawa Iskandar dikatakan menjadi duri dalam daging menggagalkan usaha PAS membatalkan kerjasama Tahaluf Siyasi dengan PKR.

Dalam Muktamar PAS minggu lalu telah memutuskan untuk menerima usul perwakilan yang menuntut kerjasama politik dengan PKR ditamatkan.

Namun keputusan muktamad hanya akan ditentukan oleh Majlis Syura Ulama PAS tidak berapa lama lagi.

Isu ini secara jelas dapat dilihat dengan tindakan berdolak dalik Iskandar yang kadang kala nampak tidak selari dengan arahan PAS pusat.

Iskandar seperti sedang menarik rambut dalam tepung, rambut tidak terputus dan tepung tidak berselerakan.

Dalam hal ini, Iskandar dilihat lebih menyayangi jawatannya sebagai EXCO Kerajaan Selangor dan sebagai percaturan politiknya untuk mempertahankan kerusi DUN Cempaka pada PRU ke-14 ini.

Namun untuk menampakkan beliau terus wala’ dengan kepimpinan tertinggi PAS beberapa ucapan dan kenyataannya dapat dilihat tidak konsisten.

Ini terbukti beberapa bulan sebelum berlangsungnya Muktamar, Iskandar telah memberikan kenyataan bahawa Selangor adalah penting untuk PAS.

“Saya yakin muktamar berkenaan tidak akan (buat keputusan) memutuskan hubungan dengan PKR,” katanya kepada sebuah laman portal.

Sebelum itu, menerusi kenyataan facebook pada tahun lepas, Iskandar dikatakan telah membidas golongan ulama PAS dengan menyindir mereka duduk dalam perigi buta.

“Jawab saya mereka yang buat andaian ini duduk dalam perigi buta sejak 2008. Tak nampak langsung manfaat kepada Islam dan rakyat sejak 2008,” katanya.

Iskandar dipercayai menjawab kepada dakwaan ulama PAS yang mendakwa ada pihak yang ‘sayangkan jawatan’ di Selangor.

Lebih menghangatkan lagi situasi, beberapa kepimpinan tertinggi PAS Selangor turut dilihat menyambut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang pulang dari lawatan kerja di timur tengah Jumaat lepas.

Tindakan mereka ini seperti tidak mengendahkan keputusan muktamar PAS untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR beberapa hari sebelum itu.

Selaku Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar dilihat gagal untuk memimpin parti itu dengan membenarkan pemimpin PAS Selangor untuk mesra dengan PKR yang jelas bercanggah dengan kehendak parti di peringkat pusat.

Takiyuddin menegaskan penamatan jawatan Iskandar daripada meneraju PAS Selangor adalah untuk memberi peluang Naib Presiden PAS itu menumpukan kerja-kerja memperkukuhkan parti itu di zon tengah dan selatan negara.

Menurutnya, ini adalah perstrukturan semula parti itu melibatkan tiga Naib Presiden PAS yang diberikan tanggungjawab baru mengikut zon yang ditetapkan bagi menguatkan jentera parti itu menghadapi PRU ke-14 nanti.

Hakikatnya, ramai pemerhati politik mempercayai ini adalah jawapan selamat Takiyuddin untuk memastikan PAS Selangor tidak terus hanyut belayar sendirian tanpa kawalan pusat.

Malah ia juga dilihat sebagai langkah terbaru PAS dalam mengurangkan pengaruh Iskandar yang meneraju PAS Selangor supaya tidak berlawan arus dengan kehendak PAS pusat.

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 9 May 2017 12:12 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: