Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Keputusan jemput artis K-Pop untungkan negara RM140 juta

23 NOV: Kehadiran tiga kumpulan K-Pop popular dari Korea Selatan pada sambutan Festival Hari Belia Kebangsaan 2012 telah memberikan keuntungan sebanyak RM140 juta, iaitu berlipat kali ganda berbanding bayaran RM1.6 juta yang dibuat bagi membawa mereka.

Keuntungan lain yang tidak dapat diukur dengan wang ringgit pula, ialah ia merupakan suatu inovasi dalam menarik minat golongan belia terhadap aktiviti yang dianjur kerajaan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

AHMAD SHABERY...keputusan bawa artis K-Pop strategi serampang dua mata.

AHMAD SHABERY…keputusan bawa artis K-Pop strategi serampang dua mata.

“Sambutan Hari Belia itu telah berjaya menarik lebih daripada 2.4 juta pengunjung,” katanya pada sidang media selepas berjumpa dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen Khamis lalu.

Menurutnya, daya tarikan K-Pop telah menyemarakkan sambutan Hari Belia tahun itu sehingga mendapat tajaan yang besar daripada pihak swasta.

Ini termasuk tajaan yang memberikan nilai pulangan sehingga RM26 juta yang dianjurkan Telekom Malaysia dan ada pula tajaan yang memberikan pulangan RM1.9 juta atau keuntungan dalam bentuk tunai setinggi RM2.3 juta, tetapi keuntungan sebenar datang dalam bentuk beransur-ansur, jelas Ahmad Shabery yang menerajui Kementerian Belia dan Sukan ketika itu.

“K-Pop hanya menjadi satu daripada 500 acara yang dibuat sempena Hari Belia itu dan telah berjaya menarik lebih daripada 2.4 juta pengunjung.

“Kalau Brazil ada Karnival Rio, Jerman ada Oktober Fest, biarlah Malaysia mempunyai satu hari yang bersifat ikonik iaitu festival Hari Belia itu sendiri,” kata Ahmad Shabery.

Katanya lagi, tiga kumpulan K-Pop yang dipanggil itu adalah antara 10 kumpulan paling popular di Korea Selatan, tetapi untuk mendapatkan tempahan, sejumlah deposit daripada RM900,000 perlu dibayar.

Beliau menjelaskan isu yang dipolitikkan ialah isu deposit pendahuluan yang menggunakan duit kerajaan tetapi secara keseluruhan, program artis K-Pop itu berjaya mendapat tajaan daripada pihak swasta berjumlah RM2.3 juta.

PAC pada Khamis mendapati tiada sebarang salah laku dalam isu pembayaran RM1.6 juta kepada artis K-Pop dari Korea Selatan oleh Kementerian Belia dan Sukan semasa diterajui Ahmad Shabery tahun lepas.

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, PAC berpuas hati bahawa segala pembayaran semasa sambutan Hari Belia 2012 itu mengikut prosedur pembayaran.

Ahmad Shabery secara sukarela menemui jawatankuasa itu bagi menjelaskan isu bayaran kepada artis K-Pop yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Nur Jazlan berkata bajet yang dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk Hari Belia 2012 itu sesuai dengan dasar kerajaan yang mahu setiap ringgit yang dibelanjakan perlu memberi pulangan sekali ganda atau lebih.

“PAC akan menyediakan perincian mengenai isu pembayaran artis K-Pop dan Hari Belia 2012 melalui satu laporan khas yang akan dibentangkan kepada umum selewat-lewatnya awal tahun depan,” kata Nur Jazlan.-BNBBC.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 23 November 2013 12:25 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: