Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Keputusan putus hubungan PKR dalam Muktamar PAS

20 Mac: PAS hanya akan membuat keputusan berkenaan usul putus tahaluf siyasi dengan PKR dalam Muktamar parti ke-63 pada April ini di Kedah.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (foto) berkata perwakilan yang hadir bakal membahaskan usul itu.

“Kalau muktamar putuskan kita putus hubungan, maka kita kena terima hakikat dan kita akan bergerak mengikut keputusan, tapi kalau muktamar putuskan untuk kekal, maka kita seperti biasalah,” katanya pada Isnin di Kompleks Kota Darul Naim, Kelantan.

Tegas Timbalan Menteri Besar Kelantan, parti itu akan bertanding kerusi pilihan mereka tanpa perbincangan pembahagian dengan pembangkang lain jika Muktamar putuskan tiada kerjasama politik dengan parti itu.

Sebelum ini, PAS kawasan Permatang Pauh, Pulau Pinang dan Dewan Pemuda Tumpat meluluskan usul untuk memutuskan hubungan selepas melihat parti itu tidak menghormati kerjasama yang terjalin.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dilaporkan berkata partinya masih membuka pintu rundingan dengan parti Islam itu.

Sementara itu, Mohd Amar enggan mengulas lanjut tindakan seterusnya oleh partinya  jika Muktamar PAS  sebulat suara putuskan kerjasama dengan parti serpihan UMNO itu.

“Bila ada keputusan maknanya kita kena bertindak ikut keputusan. Sekarang ini masih terlalu awal untuk komen,” katanya.

Share This:




Berita Bertarikh pada 20 March 2017 9:21 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]