Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kerajaan agih RM250 juta geran sepadan SSPN1M

20 JAN: Sepanjang tahun ini, kerajaan menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melipat gandakan agihan geran sepadan secara percuma, membabitkan dana RM250 juta kepada 500,000 ibu bapa terawal, menyimpan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M).

Ibu bapa yang membuat simpanan bersih, sekurang-kurangnya RM500 untuk anak-anak berusia 7 hingga 12 tahun sepanjang tahun ini, akan diberikan deposit percuma berjumlah RM500.

PTPTN dalan kenyataannya, berkata agihan geran itu adalah tanda keprihatinan kerajaan memberi keutamaan kepada rakyat mendapat peluang mengikuti pendidikan tahap tinggi.

“Usaha bersungguh-sungguh kerajaan ini adalah supaya masyarakat sedar kepentingan menabung dari peringkat awal, sekali gus menunjukkan sokongan terhadap usaha PTPTN menanam budaya menabung.

“Sehingga 31 Disember lalu, sebanyak 3.2 juta akaun dibuka dengan deposit berjumlah RM3.37 bilion. Penabung menikmati pelbagai keistimewaan yang disediakan seperti simpanan dijamin oleh kerajaan, selain patuh Syariah.

“Kadar dividen diberikan amat tinggi berbanding institusi kewangan lain. Sehingga kini, kadar dividen yang diberikan pernah mencecah sehingga 4.25 peratus setahun.

“Pelan simpanan yang diberikan pelepasan taksiran cukai sehingga RM12,000 setahun kepada ibu bapa yang membuat simpanan, selain takaful sehingga RM1 juta tertakluk kepada pakej simpanan yang dipilih,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan PTPTN sempena Program Ceria Kembali Ke Sekolah Parlimen Tawau 2018 yang dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching hari ini.

PTPTN berkata, setakat ini kerajaan negeri seperti Perak, Kedah, Johor, Melaka dan Terengganu turut memainkan peranan memberi sumbangan dalam bentuk akaun SSPN1M bagi menggalakkan penabungan dalam kalangan ibu bapa di negeri masing-masing.

Katanya, usaha itu seharusnya menjadi contoh kepada kerajaan negeri lain, badan korporat dan pihak swasta untuk sama-sama memberi sumbangan bagi penabungan di dalam SSPN1M.

Sempena Program Ceria Kembali Ke Sekolah Parlimen Tawau 2018 semalam, seramai 200 pelajar sekitar kawasan itu menerima sumbangan RM50 dalam bentuk akaun SSPN1M.

Selain itu, menerusi program tanggungjawab sosial korporat itu juga, kumpulan pelajar terpilih menerima bantuan peralatan persekolahan seperti kasut, stokin, seluar/kain, baju, tudung, alat tulis dan beg sekolah.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 January 2018 6:20 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: