Kategori Berita Utama

Kerajaan ambil langkah sewajarnya selepas RON95, diesel melebihi RM2.50

20 NOV: Kerajaan bersetuju mengambil langkah sewajarnya selepas harga RON95 dan diesel melebihi RM2.50 seliter secara berterusan selama tiga bulan.

Menurut Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini langkah bersesuaian yang akan dikenal pasti kelak bagi mengurangkan impak kenaikan harga runcit petrol kepada rakyat.

“Berdasarkan trend kenaikan harga minyak mentah dunia sejak kebelakangan ini, kerajaan akan mengenal pasti langkah bersesuaian bagi mengurangkan impak kenaikan ini, sekiranya harga runcit produk RON95 dan diesel melebihi RM2.50 seliter secara berterusan selama tiga bulan.

“Langkah yang diambil akan memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga minyak dunia dan kadar inflasi terkawal dalam jangka masa sederhana dan panjang,” kata kenyataan itu.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan itu juga berkata pada masa ini, kerajaan melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi produk petroleum mengikut trend kenaikan atau penurunan harga minyak mentah dunia di mana langkah tersebut telah berjaya mengurangkan ketirisan dan memastikan pemberian subsidi yang bersasar.

“Kerajaan prihatin dan memahami kesan kenaikan harga minyak di pasaran dunia yang kini telah mencecah lebih AS$60 setong,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata, penetapan harga runcit RON95 dan diesel dilaksanakan dengan mengambil kira harga pasaran minyak mentah dunia dan kadar tukaran wang asing.

“Mekanisme penetapan adalah secara mingguan di mana purata perubahan kos produk petroleum minggu sebelumnya akan menentukan harga bagi minggu berikutnya.

“Sekiranya harga minyak mentah dunia naik maka harga runcit produk petroleum turut naik, sebaliknya harga runcit akan berkurang jika harga minyak mentah dunia turun,” katanya.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan berkata, kerajaan masih memberi subsidi kepada sektor pengangkutan awam dan nelayan serta gas petroleum cecair (LPG).

Harga runcit mingguan bagi petrol RON95, RON97 dan diesel bagi tempoh 16 hingga 22 November masing-masing adalah RM2.38, RM2.66 dan RM2.25 seliter.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 November 2017 5:48 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: