Kategori Berita Utama

Bantuan banjir: Kerajaan DAP P.Pinang mula tunjuk belang

24 NOV: Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Kebun Bunga, Cheah Kah Peng untuk memperakui borang permohonan pampasan banjir adalah satu tindakan yang sangat tidak demokratik.

Malah menurut ADUN Pulau Betong, Datuk Dr Muhammad Farid Saad tindakan mengenepi Kah Peng seolah-olah DAP tidak menghormati pilihan rakyat.

“Saya tidak hairan jika ADUN-ADUN BN tidak diberikan kuasa memperakui permohonan itu, tapi bila ADUN PKR sendiri tidak dibenarkan juga ia sesuatu yang agak janggal. Bukankah PKR adalah sebahagian dari Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang?

“Kenapakah tugas yang sepatutnya dilaksanakan oleh YB Cheah Kah Peng sebagai wakill rakyat Kebun Bunga diserahkan kepada ADUN DAP-Pulau Tikus pula?

“Apakah DAP Pulau Pinang sedang mengatur langkah untuk mengambil alih kerusi-kerusi DUN yang kini diwakili oleh PKR pada PRU ke-14?,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Farid, pada PRU13 dulu, sudah ada dakwaan mengatakan DAP akan cuba mengambil alih dan bertanding di beberapa kerusi DUN yang diwakili PKR.

Ia katanya bagi membolehkan DAP ada 21 kerusi DUN atau majoriti mudah di DUN Pulau Pinang.

“Mungkinkah agenda DAP itu kini dihidupkan semula?

“Sekiranya DAP ada majoriti mudah di DUN, DAP sudah tidak perlukan parti-parti lain untuk membentuk Kerajaan.

“Mungkinkah DAP sedang merangka pelan atau strategi untuk mendapatkan kuasa mutlak (absolute power) di Pulau Pinang? PKR dan PAN akan jadi seperti ‘melukut di tepi gantang’ sekiranya DAP ada 21 kerusi di DUN Pulau Pinang.

“Mungkinkah DAP sudah merasakan mereka cukup kuat untuk perintah Pulau Pinang maka sudah tidak perlukan rakan-rakan yang membantu mereka mula memperoleh kuasa pada 2008?,” katanya lagi.

Menurut Farid Kerajaan DAP Pulau Pinang kini juga sudah tidak mengendahkan suara-suara NGO dan rakyat Pulau Pinang yang membantu kemenangan DAP pada 2008.

Sehubungan itu adalah jelas pentadbiran Guan Eng kini tidak lagi boleh dikritik.

“Suara mengkritik dianggap suara menentang. Mungkin itulah yang berlaku ke atas rakan saya YB PKR-Kebun Bunga Cheah Kah Peng; diketepikan kerana mengkritik Ketua Menteri dalam Sidang DUN Pulau Pinang.

“Sebelum ini, YB PKR-Penanti Norlela Ariffin juga diberi tekanan apabila dia menimbulkan isu operasi kilang haram di Kampung Sungai Lembu dalam DUN Penanti,” ujarnya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 24 November 2017 11:22 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: