Kategori Berita Utama

Kerajaan digesa wujudkan program khas ganti buah pinggang

6 NOV: Kerajaan digesa untuk mewujudkan program khas yang menumpukan kepada penggantian buah pinggang untuk mengurangkan kos rawatan hemodialisis yang ditanggung penghidap penyakit berkenaan.

Ahli Parlimen Mersing Datuk Dr Abdul Latif Ahmad berkata, kajian menunjukkan kos perubatan yang terpaksa ditanggung oleh seorang pesakit buah pinggang adalah kira-kira RM42,000 setahun.

Sambil berterima kasih kepada kerajaan yang telah menambah peruntukkan kepada RM90 juta untuk meringankan beban pesakit buah pinggang, Dr Latif menegaskan satu transplan untuk merawat penyakit itu dengan kaedah penggantian buah pinggang baharu perlu diwujudkan kerana ia dilihat lebih efektif.

“Kita boleh kurangkan kos kepada peruntukkan ini dengan mengadakan transplan penggantian buah pinggang kepada pesakit.

“Ini kerana kos penggantian buah pinggang lebih rendah daripada kos merawat pesakit tersebut.

“Dengan cara ini kita dapat menjimatkan duit pembayar cukai kepada perkara lain yang dapat memberi pulangan yang lebih bermanfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perbahasan menyokong Bajet 2018 di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Sementara itu Dr Latif menegaskan bahawa sesebuah kerajaan akan lumpuh dan tidak dapat melaksanakan pelbagai agenda untuk rakyat dan negara jika gagal mempelbagaikan hasil cukai.

Meskipun beliau tidak menolak kos sara hidup tinggi yang terpaksa dihadapi rakyat ketika ini tetapi menyifatkan puncanya adalah kerana gaji dan upah yang dibayar kepada pekerja tidak setimpal dengan zaman ini.

“Duit kita kecil kerana gaji dan upah yang diterima tidak setimpal dengan harga barang.

“Jadi, majikan kenalah bayar lebih kepada pekerja seperti kerajaan menambah peruntukkan menambah gaji kakitangan kerajaan sehingga lebih RM80 bilion pada tahun hadapan,” jelasnya.

Pada tahun ini kerajaan memperuntukkan RM77 bilion untuk membayar gaji kakitangan awam.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 6 November 2017 5:51 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: