Kategori Berita Utama

Pinda akta bagi pantau peruntukan kepada negeri

7 DIS: Kerajaan disaran membentangkan cadangan pindaan akta di Parlimen bagi membolehkan segala peruntukan yang disalurkan kepada semua kerajaan negeri dipantau dan diaudit rapi bagi memastikan wang berkenaan hanya diguna untuk tujuan ia diperuntukkan.

Saranan itu dicadangkan ekoran Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri 3 serta pendedahan Datuk Seri Noh Omar mengenai tindakan kerajaan negeri Selangor “kelepet” peruntukan Kerajaan Pusat dengan tidak menggunakan sepenuhnya peruntukan pembangunan sebaliknya menggunakan wang itu untuk belanja mengurus serta disimpan sebagai rezab tunai.

OTHMAN - sebenarnya menjadi satu kesalahan jika sesuatu peruntukan digunakan untuk tujuan lain selain daripada maksud "heading" atau kepala bajet ia diperuntukkan.

OTHMAN – sebenarnya menjadi satu kesalahan jika sesuatu peruntukan digunakan untuk tujuan lain selain daripada maksud “heading” atau kepala bajet ia diperuntukkan.

Ahli Parlimen Jerlun Datuk Othman Aziz ketika ditemui  berkata, selain itu, kerajaan juga mungkin boleh mencadangkan dalam pindaan akta itu agar lebihan wang peruntukan yang tidak habis dibelanjakan oleh kerajaan negeri, dikembalikan kepada kumpulan wang disatukan, sama seperti diamalkan oleh jabatan-jabatan serta agensi-agensi kerajaan.

“Wang itu kemudiannya boleh digunakan semula untuk pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat, termasuklah disalurkan semula kepada semua kerajaan negeri sebagai peruntukan pembangunan bagi tahun yang berikutnya,” katanya mengulas laporan bnbbc.my berhubung  tindakan kerajaan Selangor “menyelewengkan” peruntukan kerajaan pusat.

Kata Othman, menurut amalan biasa selama ini memang semua kerajaan negeri dikehendaki membelanjakan peruntukan daripada Kerajaan Pusat mengikut ‘heading’ atau kepala lampiran bajet yang memperuntukkan wang itu.

“Jika kepala P yakni pembangunan akan dibelanja untuk pembangunan manakala kepala M, mengurus di belanja untuk mengurus. Adalah menjadi kesalahan jika wang itu diselewengkan untuk kegunaan lain,” ujar Othman.

Namun katanya, sebelum mengetahui mengenai cara kerajaan negeri Selangor membelanjakan peruntukan Kerajaan Pusat ini, beliau tahu kerajaan PAS Kedah dahulu juga ada membelanjakan wang dari Pusat untuk tujuan lain daripada yang diperuntukkan.

“Setakat ini tiada apa-apa tindakan diambil ke atas negeri yang berbuat demikian. Jadi saya ada dua cadangan. Pertama mungkin kerajaan Pusat perlu menimbang untuk menyalurkan peruntukan pada tahun berikutnya mengikut setakat mana jumlah yang dibelanjakan oleh negeri berkenaan sahaja.

“Kedua, mungkin Peguam Negara perlu melihat dan mengkaji jika ada ‘loop-hole’ (kekurangan) dalam akta atau undang-undang berkaitan peruntukan kerajaan, maka bolehlah dicadangkan di Dewan Rakyat agar dibuat pindaan bagi penambahbaikan,” ujar beliau.

Sementara itu, perwakilan dari Kota Tinggi, Johor, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid berkata, adalah amat malang bagi rakyat jika peruntukan kerajaan Pusat untuk pembangunan di sesebuah negeri tidak dimanfaatkan sepenuhnya sedangkan memang ada keperluan untuk berbuat demikian.

EHSANUDDIN - Malang bagi rakyat jika peruntukan pembangunan Kerajaan Pusat tidak sampai sepenuhnya kepada mereka.

EHSANUDDIN – Malang bagi rakyat jika peruntukan pembangunan Kerajaan Pusat tidak sampai sepenuhnya kepada mereka.

“Patutlah bila saya memandu di Putrajaya, saya dapati jalan rayanya memang cantik dan selesa, tetapi sebaik keluar ke kawasan Cyberjaya yang terletak di bawah pentadbiran kerajaan negeri Selangor, keadaan permukaan jalan rayanya agak buruk.

“Saya di Kota Tinggi kalau boleh hendak mohon ditambah peruntukan bagi membaiki jalan raya di bawah kepala pembangunan MARRIS  kerana tidak mencukupi dan saya merasa hairan jika Selangor kata ianya berlebihan…kalau memang tidak boleh dihabiskan lebih baik pulangkan supaya ia boleh disalur kepada rakyat di kawasan lain yang memerlukan,” kata Ehsanuddin.

Ehsanuddin juga bersetuju jika cadangan meminda undang-undang perbekalan dikemukakan di Parlimen bagi memperkemaskan kecacatan atau kekurangan yang ada yang sebenarnya boleh disifatkan sebagai ketirisan memandangkan tindakan seperti yang dilakukan kerajaan negeri Selangor menjadikan kerajaan Pusat seolah-olah “berbelanja hangus”.’

“Duit sudah diberikan, pembangunannya tidak dibuat, perbendaharaan kerajaan Pusat menyusut hingga jadi defisit, tetapi kerajaan negeri Selangor pula yang berbangga kantungnya penuh dengan simpanan rezab tunai,” kata Ehsanuddin.

LKAN yang dikeluarkan pada Isnin lalu mendedahkan kerajaan negeri Selangor yang ditadbir pembangkang hanya membelanjakan RM640.24 juta atau 57 peratus daripada RM1.14 bilion peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) antara tahun 2010 hingga 2012.

Manakala Noh pula mendakwa daripada RM2.8 bilion peruntukan pembangunan yang disalurkan kerajaan pusat, hanya RM600 juta sahaja digunakan oleh pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim – itu pun untuk  belanja mengurus.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 7 December 2013 7:14 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: