Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kerajaan kaji semula kadar dan kos tertentu rasionalisasi subsidi

30 DIS: Keputusan merasionalisisasikan subsidi akan dikaji semula oleh kerajaan agar ia benar-benar dapat meringankan bebanan kumpulan sasaran, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, selaku Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Kos Sara Hidup, beliau akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat ini dengan menteri, timbalan menteri dan agensi berkaitan termasuk pembekal utiliti elektrik, air dan pihak berkuasa tempatan bagi membincangkan perkara itu.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Kos Sara Hidup, saya akan berbincang dengan Perdana Menteri (bagi) melihat kepada situasi terkini dan akan mendapatkan maklum balas lebih terperinci selain keputusan dibuat untuk mengkaji semula kadar tertentu dan kos yang perlu ditanggung pengguna yang dikenakan sektor awam atau institusi kerajaan,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan sedar akan isu kenaikan sara hidup ketika ini dan akan melakukan yang terbaik dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat.

“(Langkah) Lihat semula beberapa keputusan yang kita (kerajaan) buat untuk merasionalisasi subsidi itu (supaya) dapat meringankan beban kumpulan sasar.

“Kita (kerajaan) rasionalisasi subsidi supaya subsidi itu tidak digunakan oleh pihak yang tidak berapa layak, mereka yang menanggung beban kerana pendapatan kecil perlu dapat bantuan besar dengan cara menjimatkan subsidi tetapi pengurangan subsidi dapat menampung keperluan kumpulan sasar,” katanya.

Muhyiddin memakaikan beg sekolah kepada murid Sekolah Kebangsaan Permatang Badak yang menerima sumbangan daripada YSS ketika melawat sekolah itu yang dilanda bencana banjir baru-baru ini di Kuantan, Selasa. Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (kanan) dan Pengerusi YSS, Datuk Zuraidah Atan (empat, kanan).

Muhyiddin memakaikan beg sekolah kepada murid Sekolah Kebangsaan Permatang Badak yang menerima sumbangan daripada YSS ketika melawat sekolah itu yang dilanda bencana banjir baru-baru ini sambil diperhatikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (kanan) dan Pengerusi YSS, Datuk Zuraidah Atan (empat dari kanan).-Foto Bernama

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan bantuan peralatan sekolah sumbangan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di Sekolah Kebangsaan Permatang Badak, di sini hari ini.

Tambahnya lagi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga telah diarahkan supaya mengambil tindakan lebih tegas terhadap para peniaga yang menaikkan harga barangan atau perkhidmatan sewenang-wenangnya.

“Tujuan kita kalau tempoh mendatang kita tidak dapat elakkan mungkin tempoh sederhana dan panjang dapat kurangkan bebanan.

“Ini dibuat kerana kerajaan prihatin tentang masalah rakyat dan tidak mahu bebanan rakyat bertambah dengan sebab pihak melakukan kenaikan kadar yang boleh timbulkan masalah,” katanya.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 31 December 2013 4:57 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: