Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kerajaan P.Pinang kunci mulut isu Saifuddin YDP baru

3 NOV: Kenyataan rasmi akan dikeluarkan kerajaan negeri Pulau Pinang tentang pelantikan baharu memandangkan tempoh perkhidmatan kesemua ahli majlis agama itu akan berakhir pada penghujung tahun ini.

Berikutan itu pihak berkenaan tidak mahu mengeluarkan sebarang komen tentang pelantikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang baru.

“Apabila perkara ini sudah selesai, nanti akan ada kenyataan rasmi. Tempoh penjawat ahli majlis sekarang akan tamat pada 31 Disember depan.

“Perkara ini belum kemana-mana, jadi saya tak mahu komen,” jelas Exco Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim.

Sementara itu Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin juga mengelak ketika diajukan perkara ini.

“Mana boleh saya komen, ini bukan bidang saya. Sesiapa pun yang kerajaan negeri hendak lantik, mestilah akan dipertimbangkan. Yang boleh lantik hanya Yang diPertuan Agong,” ujarnya.

Khabar angin mengenai pelantikan Saifuddin sebagai Yang Dipertua MAIPP yang baru bertebaran mulai semalam seperti yang dilaporkan sebuah portal pro pembangkang.

Buat masa ini, Yang Dipertua MAIPP disandang oleh ADUN Permatang Pasir, Datuk Salleh Man.

Wakil rakyat PAS itu mula memegang jawatan berkenaan sejak 2012.

Saiffudin pula dilantik sebagai Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada awal Januari lalu.

Selain Saifuddin, dua nama lain juga disebut mengisi dua jawatan lain di dalam majlis agama berkenaan.

Naib Pengerusi PAN, Datuk Dr Mujahid Yusoff Rawa dikatakan bakal dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua MAIPP, manakala Pegawai Penerangan Ketua Menteri, Wan Ji Wan Hussin pula disenarai sebagai Ahli Majlis MAIPP.

Dikhabarkan lantikan beberapa nama bagi mengisi tempoh yang baru bagi MAIPP masih menunggu perkenaan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, semalam Jaringan Muslim Pulau Pinang (JMPP) membantah cadangan kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin DAP itu untuk melantik Saifuddin.

NGO itu berkata pemimpin PKR itu tidak mempunyai latar berlakang agama selain tidak sesuai menjadi wakil Yang di-Pertuan Agong bagi memberikan nasihat kepada umat Islam di Pulau Pinang berlandaskan hukum dan nas al-Quran.

Mereka juga menegaskan individu yang dilantik ke jawatan berkenaan tidak semestinya datang daripada parti politik tertentu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 3 November 2017 4:13 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: