Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kerajaan pusat jamin keselamatan Sabah bebas penceroboh

11 MAC: Kerajaan memberi jaminan untuk memberi komitmen penuh kepada rakyat Sabah dalam mempertahankan negeri itu daripada dicerobohi anasir luar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kerajaan tidak membenarkan tanah negeri itu diceroboh atau diganggu gugat oleh sesiapa pun.

“Kita tidak berkompromi dalam soal keselamatan negara dan Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan negeri dengan apa cara sekalipun.

“Pengalaman yang kita lalui ketika pencerobohan Lahad Datu adalah sandaran penting kerana yang penting sekarang adalah soal keselamatan.

“Program hari ini yang membabitkan tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuktikan kita ikhlas dalam memastikan Sabah mendapat perlindungan daripada pasukan keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Demonstrasi Keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lapangan Udara Kem Paradise hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Radzi Abd Rahim; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim.

Hishammuddin turut mengingatkan rakyat Sabah supaya tidak terpedaya dan terikut-ikut dengan sentimen pihal tidak bertanggungjawab dalam menimbulkan politik kebencian.

“Kemunculan mereka adalah secara bermusim dan mempunyai pertimbangan politik tertentu. Mereka tidak mempunyai perancangan seperti yang kita lakukan, termasuk dalam aspek keselamatan rakyat khususnya di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, pasukan dan agensi keselamatan negara bersiap-sedia untuk memastikan keselamatan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ini terjamin, sekali gus membolehkan rakyat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Sementara itu, Hishammuddin berkata ATM akan terus bekerjasama dan mengadakan kerjasama tiga hala dengan rakan sejawatan dari Filipina dan Indonesia bagi menghadapi ancaman pengganas.

“Kita tahu kalau nak berdepan dengan kumpulan pengganas, tidak mungkin boleh dilakukan secara bersendirian, itu sebab itu kita mengadakan kerjasama tiga hala dengan Indonesia dan Filipina.

“Pada masa ini, rondaan maritim dan udara antara tiga negara sudah berjalan manakala di darat akan dibuat dalam masa terdekat ini,” katanya.

Demonstrasi hari ini membabitkan sebahagian aset ATM milik Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditempatkan di Sabah, membabitkan helikopter Agusta, kenderaan perisai Gempita, helikopter Fennec serta Nuri.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 March 2018 8:19 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: