Kategori Berita Utama

Kerajaan Selangor fail injunksi halang SPR

27 JUN: Kerajaan Selangor diketuai PKR sudah memfailkan permohonan injunksi bagi menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan siasatan ke dua ke atas persempadanan semula di semenanjung sehingga mahkamah memutuskan kesudahan kes berkenaan.

Peguam mewakili kerajaan negeri, Latheefa Koya berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Azizul Azmi Adnan dijangka mendengar permohonan itu pada 5 Julai depan.

“Selangor sebagai entiti Malaya tidak boleh dikecualikan apabila SPR mengemukakan laporannya kepada perdana menteri,” lapor FMT, Selasa.

Menurutnya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga memfailkan satu afidavit untuk menyokong permohonan yang dikemukakan pada 20 April lalu.

Antara kandungan injunksi berkenaan adalah memohon mahkamah mengeluarkan perintah untuk menghalang SPR menyerahkan laporan persempadanan semula kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bakal membentangkan keputusan itu di parlimen untuk tujuan kelulusan.

Sebelum ini, Azmin yang juga Timbalan presiden PKR dilaporkan berkata SPR perlu menunggu keputusan mahkamah berhubung permohonan semakan itu dan suruhanjaya itu sebenarnya mempunyai masa mencukupi untuk menjalankan tugasnya kerana perlembagaan menyatakan ia mempunyai tempoh masa dua tahun dari September tahun lepas.

Pada 9 Mac lalu, permohonan Kerajaan Selangor untuk pemeriksaan balas ke atas Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Hakim Azizul Azmi Adnan membenarkan permohonan untuk memberi maklumat mengenai perubahan di kawasan pengundi dalam dua persempadanan semula yang pernah dibuat pada 1993 dan 2004.

Kedua-dua pihak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu yang dijangka didengar pada 20 Julai depan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 June 2017 6:58 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: