Kategori Berita Utama

Kerajaan Selangor tidak patut halang KPKT bantu rakyat

12 SEPT: Kerajaan Selangor yang diterajui PKR sepatutnya membenarkan Kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan dan kemudahan dalam meningkatkan nilai kesejahteraan kehidupan penduduk di Selangor.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar menegaskan, usaha kementeriannya untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat terutamanya yang menghuni rumah kos rendah di negeri ini tidak wajar dihalang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri tersebut.

“Kerja-kerja pembaikan infrastruktur dan kemudahan ini ada yang memerlukan kebenaran daripada PBT. Itu saya tak nafikan akan wujud nanti halangan berkaitan.

“Saya sudah ingatkan pegawai saya yang kita kerja untuk rakyat bukan untuk politik.

“Jadi saya nak ingatkan kerajan negeri janganlah menghalang kerja-kerja untuk kebaikan rakyat, ini bukan soal politik tapi untuk rakyat,” tegasnya.

Noh berkata demikian kepada media ketika melakukan ‘walkabout’ di Flat PKNS Pangsapuri Permai, Taman Datuk Harun di Petaling Jaya, Selasa.

Berikutan pelbagai masalah infrastruktur dan kemudahan awam yang semakin teruk di situ, Noh telah mengumumkan peruntukan hampir RM7 juta bagi tujuan pemulihan.

Keprihatinan Noh terhadap kehidupan rakyat bandar yang miskin amat dialu-alukan penduduk di flat tersebut  yang sekian lama dipinggirkan kebajikan mereka oleh Kerajaan Selangor yang dipimpin oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Daripada peruntukan RM500 ribu adalah untuk membaik pulih surau di flat tersebut.

Noh juga berkata, sebanyak RM280 ribu untuk menaik taraf gelanggang futsal dengan membina bumbung supaya gelanggang tersebut dapat dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti oleh penduduk di situ.

“Kita luluskan peruntukan tambahan untuk buat bumbung gelanggang futsal supaya boleh jadi dewan serbaguna. Jadi bilehlah dijadikan dewan untuk program kenduri kendara oleh penduduk di sini,” kata Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu.

Manakala sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan oleh KPKT untuk membaik pulih bumbung di 5 buah blok flat berkenaan.

“Bumbung rumah pun banyak yang bocor  dan menjadi masalah kepada penduduk yang tinggal di tingkat atas, dan kita akan baik pulih masalah ini.

“Flat ni dah berusia 37 tahun, ada 5 blok di sini. Masalah tangki air usang, ada yang berlumpur dan menyebabkan air tercemar. Itulah air nak mandi dan minum.

“Jadi saya bersetuju untuk mengarahkan tangki air ini diganti baru,” jelasnya.

Bagi masalah banjir kilat dan sistem perparitan tersumbat, Noh telah mengarahkan pihak Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor untuk mengatasi masalah ini dengan segera.

“Kita akan bina pagar yang baru di kawasan flat ini serta membaiki sistem perparitan yang tersumbat.

“Banjir dan masalah air bertakung ini tidak akan berlaku lagi dan dapat mengelak wabak denggi mengancam nyawa penduduk,” jelas Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang.

 

Share This:




Berita Bertarikh pada 12 September 2017 7:56 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]