Kategori Berita Utama

Kerajaan teliti 3 elemen sebelum tubuh RCI Memali

18 FEB: Kerajaan sedang membuat penelitian mendalam sebelum membuat keputusan berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) peristiwa Memali.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata tiga elemen sedang diperhalusi termasuk membabitkan isu sama ada terdapat arahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan penembakan sehingga mengakibatkan mengorbankan banyak kematian termasuk penceramah bebas, Ibrahim Mahmud atau dikenali Ibrahim Libya.

“Elemen kedua ialah berdasarkan kepada arahan dengan harapan ia bukan berunsur politik tetapi berdasarkan kepada soal keselamatan.

“Ketiga, kita mahu melihat jika ada unsur penganiayaan, maka tugas RCI untuk menyiasat siapakah orang yang jadi tokoh penting mengarahkan tindakan penganiayaan ini dibuat,” katanya.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian selepas Program Santai Makan Tengah hari Timbalan Perdana Menteri Bersama Bikers PDRM dan Warga PDRM/KDN di Balai Polis Hutan Melintang hari ini.

Peristiwa Memali yang berlaku di Kampung Memali, Baling, Kedah, pada 19 November 1985 menyaksikan pertempuran anggota keselamatan dengan penduduk kampung dan pengikut Ibrahim Libya sehingga mengorbankan banyak nyawa termasuk anggota keselamatan.

Sementara itu, Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk  berkata beliau juga akan membawa perkara itu ke Kabinet untuk membuat keputusan mengenai tempoh yang sesuai bagi meneliti semua elemen berkenaan.

“Kerajaan sendiri mahu meneliti perkara itu bukan semata-mata atas desakan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu penubuhan RCI itu dipercepatkan,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 18 February 2018 2:59 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: