Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kerajaan yakin program pemulihan banduan wanita terjamin

30 OKT: Kerajaan yakin dengan pelbagai program pemulihan yang diterapkan kepada banduan wanita mampu menyediakan kehidupan lebih baik kepada mereka setelah dibebaskan kelak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kadar peratus dibawah 0.19 banduan wanita yang telah dibebaskan dan terbabit sekali lagi dengan jenayah sehingga dipenjarakan untuk kali kedua telah membuktikan segala program pemulihan yang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia (JPM) mencapai objektifnya.

“Kadar peratusan tersebut menunjukkan banduan wanita yang dibebaskan telah dapat menjalani dan meneruskan kehidupan mereka.

“Pelbagai program pemulihan yang mereka ikuti ketika di dalam penjara telah dapat membantu mereka menyesuaikan diri sekaligus diterima kembali ke dalam kelompok masyarakat,” kata Ahli Parlimen Pulai itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Menurut Nur Jazlan, setakat Oktober 2017 jumlah banduan wanita yang sedang menjalani hukuman penjara ialah 4,027 orang dan 1,703 orang daripadanya dipenjara kerana terbabit dalam kes penyalahgunaan dadah.

“Setiap banduan wanita perlu mengikuti program pemulihan khas yang dikendalikan oleh JPM.

“Pengisian dalam program tersebut meliputi aspek sahsiah, motivasi dan keagamaan,” jelasnya.

Tambah Nur Jazlan lagi, banduan wanita berpeluang meningkatkan kemahiran diri dengan mengikuti pelbagai kursus kemahiran yang ditawarkan ketika menjalani hukuman penjara.

“Pelbagai kursus kemahiran ditawarkan kepada mereka seperti jahitan, masakan, andaman, kecantikan dan sebagainya dan diberikan sijil yang diiktiraf kerajaan.

“Selain itu diberi pertimbangan kepada bantuan pinjaman dari Tekun bagi banduan wanita berkemahiran untuk membolehkan mereka memulakan perniagaan sendiri setelah dibebaskan nanti,” jelasnya.

Untuk memastikan banduan wanita dapat menangani kesan psikologi kerana dihukum meringkuk di dalam penjara, Nur Jazlan menjelaskan, JPM telah menempatkan seramai 54 orang pegawai psikologi di semua penjara seluruh negara.

“Tugas mereka penting ketika menyaring banduan wanita pada fasa awal mereka dipenjarakan.

“Banduan wanita akan menjalani ujian psikologi untuk menyaring tahap mental dan psikologi mereka bagi mengetahui keadaan emosi sebenar mereka. Ini banyak membantu mereka menangani kesan psikologi yang dialami mereka,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 30 October 2017 1:29 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: