Kategori Berita Utama

Keretakan landasan sudah dibaiki, Klia2 selamat digunakan

4 APR: Terminal Penerbangan Tambang Rendah baharu, klia2, selamat digunakan setelah keretakan landasan kapal terbang dibaiki, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pengurus Besar Kanan Bahagian Operasi MAHB, Datuk Azmi Murad memberitahu BERNAMA isu keretakan tersebut tidak akan mengganggu keseluruhan operasi terminal itu yang akan dibuka pada 2 Mei.

Azmi juga berkata, keretakan yang berlaku di landasan kapal terbang itu adalah normal dan bukan keretakan struktur dan proses kejuruteraan biasa memadai untuk menyelesaikan masalah itu.

Menurutnyaa, Malindo Air sudah melakukan pendaratan percubaan di klia2 pada Oktober lalu yang membuktikan bahawa landasan tersebut berada dalam keadaan baik.

klia2Klia2 kini boleh menampung beban sehingga 100 ton, melebihi berat Superjumbo A380 – kapal terbang komersial terbesar dunia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa MHAB akan mengambil tindakan serta-merta seperti pembinaan semula jika keretakan struktur berlaku.

“Untuk keretakan biasa, pembaikan akan dan telah dijalankan,” katanya.

Beliau mengulas laporan berserta gambar di laman blog yang menunjukkan keretakan di klia2 serta keengganan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia berpindah ke klia2 pada 2 Mei.

Azmi berkata, gambar itu adalah lama dan kini tidak lagi keretakan.

“Keretakan di landasan terbang itu disebabkan oleh proses pemendapan, berlaku susulan kerja paip cerucuk pili bomba.

“Kerja paip tersebut kemudian disimen sebelum dilapiskan dengan tar bagi melindungi paip tersebut. Jarak antara cerucuk itu menyebabkan proses pemendapan tidak sekata dan berlaku keretakan,” katanya.

Mengenai gambar menunjukkan keretakan pada bangunan di klia2, beliau berkata ia adalah ‘kecacatan liabiliti’ dan laporan sudah dibuat kepada pihak kontraktor.

“Ia adalah kecacatan kecil,” katanya

Kelmarin, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, mengumumkan bahawa LCCT di Sepang akan ditutup pada 9 Mei.

Beliau juga memberi jaminan bahawa keselamatan di landasan, laluan pesawat dan lain-lain, sudah disahkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 4 April 2014 11:36 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: