Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kerjasama pembekal, pemborong, pengimport turunkan kos hidup memuaskan

7 FEB: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan sebilangan besar pemborong, pembekal dan pengimport dalam usaha menurunkan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, selain memastikan bekalan mencukupi, pemborong, pembekal dan pengimport terbabit juga komited membantu usaha kerajaan mengawal dan mengurangkan harga barang seperti ikan, sayur-sayuran dan ayam.

“Maklumat tadi daripada pengimport ikan dari luar negara ialah harganya jauh lebih rendah daripada harga ikan tempatan, malahan amat rendah dan bekalan juga berlebihan.

“Contohnya harga borong ikan tenggiri di pasar borong Selayang RM13 sekilo (hari ini) berbanding RM18 sekilo minggu lalu. Begitu juga ikan kembong RM8 sekilo berbanding RM14 sekilo pada minggu lalu,” kata Muhyiddin kepada media di Putrajaya pada Jumaat.

Muhyiddin berjumpa dengan pengimport, pengedar dan pembekal di Putrajaya pada Jumaat.

Muhyiddin berjumpa dengan pengimport, pengedar dan pembekal di Putrajaya pada Jumaat.

Beliau dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek sebelum itu mengadakan perjumpaan lebih sejam dengan kira-kira 40 wakil daripada persatuan pemborong, peruncit, pembekal, pertubuhan peladang dan nelayan.

Muhyiddin yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat berkata, dengan kerjasama pihak pemborong, pembekal dan pengimport ini, harga runcit akan turut menurun selaras usaha menjamin kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Walaupun mereka tidak mewakili semua, tetapi daripada perbincangan tadi kita dapat lebih memahami situasi dari sudut sumber bekalan harga yang ditawarkan di peringkat pemborongan,” katanya.

“Pemborong juga kata harga sayur-sayuran secara umum jauh lebih rendah tahun ini berbanding tahun lalu…ini satu berita baik,” katanya lagi.

Muhyiddin juga menjelaskan bahawa bekalan ayam mencukupi dan harganya masih rendah berbanding negara-negara serantau.

“Tetapi yang agak menarik, saya dimaklumkan bahawa harga ayam yang dijual di pasaran tempatan jauh lebih rendah daripada kota-kota atau negara lain di sekeliling termasuk Thailand,” katanya.

Selain itu menurut Muhyiddin lagi, terdapat juga cadangan konsep penjualan terus daripada pemborong kepada orang ramai diadakan sekali dalam seminggu di pasar-pasar borong.

“Ini cadangan saya fikir baik. Kita akan lebih teliti bagaimana ia boleh dilaksanakan untuk membolehkan faedah daripada harga borong itu dapat juga dinikmati oleh pengguna dan peruncit biasa,” katanya.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 7 February 2014 5:38 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: