Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kerjasama Pusat-Kelantan tangani 3 isu

5 JUN: Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kelantan akan dilakukan bagi menangani tiga isu merangkumi keselamatan, dadah dan pemulihan di penjara di negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri,

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata pihaknya berharap perkembangan ini bakal berpanjangan melalui kerjasama kerajaan negeri dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bagi mewujudkan kelab pencegahan jenayah di seluruh Kelantan.

Menurutnya, kadar indeks jenayah di negeri itu menunjukkan penurunan sebanyak 13.5 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sekali gus menjadikan ia satu perkembangan terbaik.

“Di Kelantan juga didapati masalah penggunaan pil kuda tertinggi di Malaysia. Justeru, kerajaan negeri perlu melakukan program bersama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam melakukan pemulihan dengan menggunakan pendekatan agama.

“Kita juga akan bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Kelab Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dalam memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap penyalahgunaan pil kuda dan dadah sintetik yang mudah diperoleh dari negara jiran sama ada melalui darat atau laut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, di Kompleks Kota Darul Naim,  Isnin.

Perjumpaan secara tertutup selama 30 minit itu turut disertai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pemangku Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad, serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 5 June 2017 3:31 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: