Kategori Berita Utama

Kes bunuh Jong-nam: Vietnam hormati perundangan Malaysia

28 APRIL: Ekoran kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, warga Vietnam yang berdepan tuduhan membunuh akan diberi hak dan pertimbangan adil berdasarkan peruntukan undang-undang Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan itu kepada rakan sejawatannya dari Vietnam, Nguyen Xuan Phuc, dalam pertemuan bilateral kedua-dua pemimpin di Crown Towers di sini, petang ini.

“Beliau (Xuan Phuc) meminta penjelasan berhubung rakyatnya yang kini menghadapi kes mahkamah berhubung pembunuhan Jong-nam dan kita nyatakan keadaannya.

“Secara dasarnya, beliau faham Malaysia mempunyai sistem perundangan tersendiri dan Vietnam menghormati serta yakin dengan proses itu.

“Bagaimanapun, Vietnam berpendirian rakyatnya itu menjadi mangsa manipulasi dan dipergunakan, maka kita nyatakan biar mahkamah melaksanakan prosesnya,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini, petang ini.

Najib berada di Manila sejak semalam bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-30 esok dan beberapa persidangan berkaitan.

Pada 1 Mac lalu, Doan Thi Huong, 28, bersama warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas atas tuduhan membunuh Jong-nam yang menggunakan identiti Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 9 pagi, 13 Februari lalu dan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 28 April 2017 10:27 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: