Kategori Berita Utama

Kes pertama Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak 4 Julai

22 JUN: Julung kalinya kes pertama Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak di Istana Kehakiman, Putrajaya akan berlangsung pada 4 Julai depan.

Mahkamah berkenaan adalah cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau berucap pada Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak di Kuala Lumpur, Mac lalu.

Pelancaran penubuhan mahkamah ini  disempurnakan oleh Najib, di Putrajay pagi tadi.

Mahkamah itu memberi tumpuan kepada kes-kes bagi mangsa jenayah seksual kanak-kanak seperti aktiviti pengantungan kanak-kanak (child grooming), pornografi kanak-kanak dan serangan seksual (sexual assault) selaras Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat.

Kata Najib, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak ini bukan sahaja yang pertama di Malaysia, malah juga yang pertama di Asia Tenggara.

“Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang baharu ditubuhkan ini adalah untuk membicarakan kes jenayah seksual, di mana mangsanya adalah kanak-kanak,” katanya.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak itu akan mendengar kes-kes sekitar di Lembah Klang.

Katanya, penubuhan mahkamah seumpama ini akan diperluaskan secara berperingkat di seluruh negara.

“Semestinya, mahkamah ini akan dikendalikan oleh seorang Hakim Kanan Mahkamah Sesyen yang berpengalaman luas dalam bidang kehakiman dan perundangan.

“Bukan itu sahaja, malah mahkamah ini akan turut mempunyai pendakwa raya yang memiliki kepakaran khusus dalam jenayah seksual kanak-kanak,” kata Najib.

Tambah beliau, mahkamah khas juga bertujuan mempercepatkan tempoh pelupusan kes dan mempercepatkan giliran bagi perbicaraan kes jenayah seksual yang membabitkan golongan berkenaan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 22 June 2017 1:56 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: