Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kesihatan Hadi semakin pulih tunjuk perkembangan positif

23 MEI: Keadaan kesihatan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam keadaan pemulihan yang sangat baik dan memberi tindakan positif terhadap rawatan yang diberikan di Unit Rawatan Rapi, Institut Jantung Negara (IJN).

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Marang itu, Dr. Ahmad Samsuri Mohtar berkata, Abdul Hadi kini menjalani latihan fisioterapi bagi memperkuatkan fizikal selepas menjalani pembedahan jantung pada 16 Mei lalu.

“Alhamdullilah Tuan Guru berada dalam keadaan pemulihan pasca pembedahan yang sangat baik dan tindak balas yang sangat positif terhadap rawatan yang diberikan di Unit Rawatan Rapi IJN.

“Tuan Guru telah mula menjalani latihan fisioterapi bagi memperkuatkan fizikalnya dan ianya adalah rawatan yang biasa dijalankan selepas pembedahan jantung,” kata Dr. Ahmad Samsuri melalui kenyataan di Facebook rasmi Abdul Hadi.

Dr. Ahmad Samsuri turut memaklumkan ketika ini hanya keluarga terdekat sahaja dibenarkan melawat Abdul Hadi.

“Proses pemulihan dapat bergerak pantas sekiranya Tuan Guru dapat berehat sepenuhnya.

“Oleh yang demikian, lawatan pada peringkat ini adalah masih terhad untuk keluarga terdekat sahaja sehingga dimaklumkan sebaliknya,” kata Dr. Ahmad Samsuri.

Pada 16 Mei lalu, Abdul Hadi selamat menjalani pembedahan penggantian injap jantung.

Abdul Hadi menjalani pembedahan selama tiga jam diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif IJN dan perunding kanan Kardiotorasik, Datuk Seri Dr. Mohd Azhari Yakub; Ketua Pembedahan Kardiotorasik, Datuk Seri Dr. Jeffrey Jeswant Dillon dan Timbalan Ketua Anestesiologi, Datuk Dr. Suhaini Kadiman.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 23 May 2017 6:59 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: