Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Ketepikan perbezaan politik, pertahankan kesucian Islam

22 DIS: Rata-rata orang ramai yang ditemui pada Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis menyifatkan kepentingan mempertahankan kesucian Islam perlu menjadi agenda keutamaan umat Islam di negara ini.

Malah, perbezaan pendapat dan ideologi politik perlu diketepikan buat sementara bagi menunjukkan kepada dunia bahawa Umat Islam terutamanya di Malaysia tetap akan bersatu sekiranya wujud perkara yang mengancam kesucian dan penindasan umatnya di seluruh dunia.

Bagi Abdul Hafiz Azmi, 36, walaupun ada suara sumbang yang mendakwa himpunan ini tidak akan memberikan kesan kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menarik balik keputusan pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, sekurang-kurangnya beliau telah melakukan usaha yang termampu untuk menunjukkan penentangan terhadap perkara tersebut.

“Tidak kiralah orang kata ini sumbangan yang tak seberapa, kecil sahaja, ia ibarat setitik air jatuh ke batu, jika semakin banyak titik air maka tidak mustahil batu itu akan berlekuk.

“Insyallah suatu hari nanti penindasan Israel terhadap rakyat Palestin akan berakhir dan Baitulmaqdis menjadi destinasi yang aman untuk umat Islam.

“Jadi, ketepikanlah perbezaan yang ada, kita tunjukkan bahawa umat Islam ini boleh bersatu dan mengerunkan musuh Islam,” katanya yang berasal dari Gombak.

Manakala bagi Noor Othman, 51, berpendapat himpunan yang diadakan selepas solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya ini boleh menunjukkan kepada dunia bahawa Umat Islam di seluruh dunia akan bangkit bersatu menentang tindakan yang menindas agama Allah itu.

“Saya bangga dapat hadir dan menunjukkan solidariti saya terhadap tindakan jahat AS dan Israel khususnya kepada nasib rakyat Palestin yang telah merana sejak sekian lama.

“Kalau umat Islam di negara-negara Arab tak boleh bersatu terhadap kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin, kita di Malaysia tunjukkan kepada mereka bahawa umat Islam di negara ini boleh mengenepikan perbezaan pendapat dan ideologi politik lalu bersatu untuk mempertahankan Islam,” tegas wanita yang berasal dari Klang itu.

Ada juga mereka yang ditemui menzahirkan untuk melihat penyatuan umat Islam yang hadir pada himpunan ini diterjemahkan seterusnya kepada penyatuan umat Islam dalam bidang politik di Malaysia.

“Himpunan bagus dan cukup membuktikan bahawa umat Islam di Malaysia boleh bersatu dan menemui titik persamaan terhadap perkara yang menyentuh senstiviti Islam.

“Jadi, alangkah baiknya jika perbuatan ini diteruskan dan dapat dilihat dalam penyatuan umat Islam dalam politik dengan bergabungnya UMNO dan PAS dalam satu parti.

“Ini sesuatu yang bagus untuk umat Islam di Malaysia pada masa hadapan,” kata Mohd Shaman Jaes, 53, yang datang dari Johor Bahru.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 22 December 2017 8:41 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: