Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Ketua UMNO Cawangan didakwa hantar komunikasi jelik

13 OKT: Ketua UMNO Cawangan Sri Labuan, Bandar Tun Razak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang hari ini atas dakwaan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik menggunakan aplikasi Facebook, pada tahun lalu.

Abd Zarin Mohd Yasin, 65, selaku Orang Kena Saman bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Penulis blog Sang Kelembai itu dituduh secara sedar melakukan kesalahan itu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada malam pada 8 Oktober di Taman Sri Putra, Sungai Buloh.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook akaun profil Zaharin Mohd Yasin mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Jika bersalah, beliau berhadapan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Selepas pertuduhan dibacakan, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Mohd Sophian Zakaria mencadangkan Zarin dibebaskan dengan jaminan RM5,000.

Peguam Muhammad Fitri Abdullah Wahid yang mewakili defendan bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan anak guamnya menanggung empat anak tidak bekerja dan hanya mendapat bayaran daripada penulisan blognya.

Hakim kemudian membenarkan Zarin dibebaskan dengan jaminan RM4,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 16 November depan untuk pengurusan kes.

Share This:




Berita Bertarikh pada 13 October 2017 3:27 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]