Kategori Berita Utama

Khairy ingatkan Pemuda jangan lupa pengkhianatan Dr M

30 NOV : Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin tekad untuk menentang pengkhianatan dan pembelotan oleh bekas presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap UMNO yang digambarkan sebagai satu perjuangan mulia kepada rakyat.

khairy-02Walhal perjuangan yang dibawa Dr Mahathir bagi Khairy ia tidak ubah seperti sebuah wayang yang penuh dengan tipu muslihat, hipokrasi dalam mengejar takhta, membina legasi dan empayar.

Ungkapan ‘Melayu mudah lupa’ yang diagungkan Dr Mahathir satu ketika dahulu pula sepatutnya dikembalikan kepada beliau.

“Wahai Tun, bahawasanya Melayu di dalam dewan ini tak mudah lupa, Melayu dalam dewan ini hormat pengorbanan Tun. Melayu dalam dewan ini ingat sumbangan Tun. Juga ingat solidariti parti mempertahankan Tun.

“Tetapi Melayu di dalam dewan ini juga ingat hipokrasi Tun. Juga ingat diktatorship Tun. Juga ingat kepincangan Tun. Juga ingat penyelewengan di zaman Tun. Juga ingat semua pemimpin yang dihina oleh Tun.

“Dan yang akan kami paling ingat, yang Melayu dalam dewan ini akan sentiasa beringat adalah pengkhianatan Tun kepada perjuangan parti ini. Keghairahan Tun tubuh parti untuk melawan kami, kesanggupan Tun menghina parti keramat ini. Kerakusan Tun membunuh parti UMNO ini,” kata Khairy.

Beliau berkata demikian ketika ucapan dasar Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Rabu.

Bagaimanapun, Pemuda turut digesa supaya tidak memandang rendah kepada parti serpihan Dr Mahathir iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Suka atau tidak, jangan kita pandang enteng bahawa sasaran Parti Pribumi adalah pengundi tegar kita dan kubu-kubu kita. Parti Pribumi tidak akan bertanding di kawasan seperti Lembah Pantai, Kuantan atau Seremban. Sebaliknya mereka akan menyerang simpanan tetap UMNO seperti kawasan seperti Muar, Langkawi, mungkin Rembau,” katanya.

Justeru Khairy mengingatkan Pemuda, sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk membahagikan kesetiaan dan kasih sayang kepada pemimpin dan rakan sebelum ini yang menentang UMNO.

“Dalam dunia politik, kita sudah berkerat rotan, berpatah arang dengan Mahathir, Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir).

“Kita sedang berperang. Yang menentang, kita lawan. Yang tidak ingin bersama UMNO, sila keluar sekarang. Keluar dari barisan. Jangan jadi musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, api dalam sekam. Jangan jadi dayus, jangan jadi bacul. Jangan sembunyi. Kalau tak suka, lawan depan-depan,” tegasnya.

Share This:




Berita Bertarikh pada 30 November 2016 10:38 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]