Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Khaled bakal jawab isu rasuah, DUN dikawal ketat

4 DIS: Bangunan Sultan Ismail, yang menempatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini dikawal ketat susulan tindakan pembangkang mahu menganjurkan ‘flashmob’ di kawasan berkenaan.

Difahamkan, penganjuran ‘flashmob’ itu bertujuan mendesak Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menjawab isu tuduhan rasuah RM12 juta, yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Shu Qi.

Beberapa pintu masuk ke kawasan pentadbiran kerajaan negeri, dikawal ketat anggota keselamatan, selain sekatan jalan raya dilakukan di jalan utama.

Mohamed Khaled dijangka menjawab pertuduhan rasuah yang diutarakan Shu Qi pada sesi perbahasan minggu lalu dalam ucapan penggulungan Bajet 2018.

Isnin lalu, Shu Qi diarah keluar daripada Persidangan DUN Johor, selepas enggan menarik balik kenyataannya, yang bertanya mengenai kesahihan maklumat dalam dokumen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM pada 29 November lalu dilaporkan membuat laporan polis, berhubung kebocoran dokumen, selain menjelaskan jadual pembayaran yang dimuat naik di media sosial, sengaja diada-adakan untuk mengelirukan masyarakat.

Perunding hartanah yang juga Orang Kena Tuduh (OKT) bagi kes rasuah dan penggubahan wang haram membabitkan bekas EXCO Johor, juga membuat laporan polis berkenaan dokumen siasatan SPRM terhadapnya yang menjadi viral, Rabu lalu.

Amir Shariffuddin Abd Raub, 44, dalam laporan polisnya memaklumkan sudah membuat semakan dengan peguamnya dan selepas meneliti dokumen itu menunjukkan terdapat perbezaan nyata dengan kenyataannya kepada SPRM ketika itu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 4 December 2017 12:49 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: