Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Khalid Ibrahim sokong bajet 2018

1 NOV: Ahli Parlimen BEBAS Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan pendiriannya untuk menyokong sepenuhnya Bajet 2018 yang telah diumumkan pada minggu lalu.

“Saya menyokong Bajet 2018 ini,” katanya sebelum mengakhiri perbahasan menyokong Bajet 2018, di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Terdahulu dalam ucapannya, bekas Menteri Besar Selangor itu melahirkan rasa kesyukuran susulan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.7 peratus pada 6 bulan pertama tahun ini.

“Alhamdulillah daripada bajet yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu menunjukkan ekonomi Malaysia adalah rancak.

“Ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan 5.7 peratus pada enam bulan pertama 2017 dengan disokong permintaan domestik yang kukuh disamping sektor-sektor luaran yang lain,” katanya.

Bagaimanapun beliau mempersoalkan pemberian subsidi dan bantuan sosial dalam bajet tersebut yang dikatakan tidak memberikan pulangan optimum kepada setiap nilai ringgit yang digunakan untuk tujuan berkenaan.

“Tapi satu item kita lupa iaitu subsidi dan bantuan sosial yang diberikan dalam bajet tersebut.

“Di peringkat pakar-pakar ekonomi mempersoalkan subsidi atau yang dipanggil ‘opportunities cost subsidies’ yang bermaksud kos melepas pemberian subsidi.

“Bajet tersebut tidak diterangkan faedah dan kebaikan kepada masyarakat kerana duit yang diberikan untuk subsidi adalah lebih baik tidak diberikan untuk subsidi dan diberikan sahaja kepada pembayar cukai,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan menyusun semula pembelanjaan subsidi ini supaya hasil yang baik dapat dipulangkan kepada setiap ringgit yang digunakan.

Jelasnya, jika dicampur jumlah bajet untuk subsidi pada tiga bajet sebelum boleh dipulangkan kepada masyarakat dengan membina lebih banyak rumah mampu milik.

“Jumlah 74.54 bilion subsidi telah diberikan sejak tiga tahun ini.

“Jika dipulangkan kepada pembayar cukai, kita mampu membina lebih 500000 unit rumah mampu milik kepada rakyat.

“Jadi kita kena kaji semula bagaimana subsidi yang diberikan itu boleh digunakan untuk tujuan merangsangkan lagi ekonomi kita,” jelas Bekas ahli PKR itu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 1 November 2017 5:58 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: