Kategori Berita Utama

Khidmat bomoh kesan MH370: Ini kenyataan Jakim

12 MAC : Mesyuarat panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memutuskan kaedah atau rawatan perbonohan Ibrahim Mat Zin bercanggah dengan akidah Islam kerana mengandungi unsur-unsur syirik.

Malah, dari sudut alat-alat yang digunakan, menggambarkan unsur khurafat dan tahyul dan  ditolak dalam Islam.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha menjelaskan, keputusan  terhadap kaedah perubatan Ibrahim dicapai pada mesyuarat Panel berkenaan pada 22 hingga 23 November 2004.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana pihak dilarang mengelirukan masyarakat dengan penggunaan kalimah Arab sebagai cara untuk menunjukkan ia adalah bertepatan dengan syarak sedangkan hakikatnya pengamalan, bacaan dan prosedur yang digunakan adalah jelas bertentangan dengan syarak.

ibrahimmatzinOthman turut mengingatkan semua msyarakat khususnya  umat Islam agar tidak terpengaruh atau mengamalkan upcara perbomohan yang jelas bertentangan dengan Islam.

“Ia bukan sahaja satu usaha yang sia-sia malah boleh mengundang kemurkaan Allah swt.  Umat islam harus menyakini bahawa Allah swt adalah sebaik-  tempat bergantung dan bertawakkal,” katanya dalam satu kenyataan Rabu.

Kenyataan itu ekoran kemunculan Ibrahim yang mahu menggunakan kebolehannya sebagai Raja Bomoh untuk mengesan pesawat MH370 yang masih hilang bersama 239 penumpang sejak Sabtu lalu.

Media juga melaporkan balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) gempar dengan kemunculan seorang lelaki yang mendakwa sebagai ‘Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP’ yang kononnya mampu membuat ramalan lokasi pesawat MAS penerbangan MH370 yang dilaporkan hilang.

Menurut Othman, Jakim menyelar usaha pihak-pihak yang mendapatkan khidmat bomoh dalam usaha pencarian pesawat MH370 yang secara jelas adalah bertentangan dengan Islam.

Katanya, walaupun hukum mengamalkan pengubatan alternatif atau kaedah perbomohan adalah harus di dalam Islam namun mestilah tidak bertentangan dengan syarak.

“Walaupun kita amat sedih dengan ujian yang sedang menimpa kita dan  pelbagai usaha yang telah dilakukan pihak berkuasa  dengan pelbagai jenis teknologi dan aset sama ada dalam dan luar negara, namun kita tidak boleh berputus asa dan wajib terus memohon pertolongan Allah swt,” ujarnya.

Katanya, dengan segala usaha pencarian berdasarkan keupayaan manusia melalui ilmu sains, kepakaran dan teknologi, sebagai hamba Allah, manusia harus terus berdoa bermohon  supaya pesawat itu berjaya ditemui atas izinNya.  –bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 12 March 2014 11:22 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: