Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kit Siang gesa laporan kerugian FOREX BNM didedah

26 JUN: Laporan pasukan petugas khas berkenaan kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) akibat perdagangan mata asing (FOREX) perlu diberitahu kepada umum susulan kabinet membuat keputusan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi siasatan lanjut, kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

“Laporan pasukan petugas harus dibuka kepada orang ramai, sebagai langkah pertama memulihkan kebertanggungjawab dan tadbir urus baik di negara ini,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, Kit Siang juga mempertikaikan mengapa pasukan petugas khas dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan tidak mempunyai akses kepada maklumat yang diperoleh.

“Saya hairan dengan kenyataan Sidek dalam satu temuramah bahawa beliau membayangkan hanya suruhanjaya mempunyai akses kepada dokumen berkaitan daripada kementerian kewangan dan BNM, kerana pasukan itu ditubuhkan secara pentadbiran dan tidak di bawah mana-mana undang-undang,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu yang juga memberikan keterangan pada Pasukan Petugas itu pada bulan lalu.

Pasukan Petugas Khas  ditubuhkan untuk menyiasat kerugian AS$10 bilion (RM42 bilion mengikut kadar tukaran semasa) yang dialami bank itu antara 1991 dan 1993.

Sidek dilaporkan berkata pasukan petugas hanya mempunyai akses kepada dokumen yang tersedia untuk orang ramai, seperti laporan tahunan BNM dan rujukan antara BNM serta Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).

Pada 21 Jun lalu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan Kabinet untuk menubuhkan RCI selepas laporan oleh Pasukan Petugas Khas.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 26 June 2017 6:21 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: