Kategori Berita Utama

Kit Siang Ketua Pembangkang jika Wan Azizah tak bertanding PRK

11 FEB: Penasihat DAP Lim Kit Siang dijangka dipilih semula sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hilang kelayakan sebagai ahli parlimen Permatang Pauh ekoran di hukum lima tahun penjara kerana kesalahan meliwat.

Walaupun pembangkang sebelum ini memberi laluan kenapa Anwar yang juga Ketua Umum PKR tetapi mustahil DAP bersedia menerima calon lain daripada PKR kecuali Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

limkitsiangdap

KIT SIANG…ada pengalaman senagai Ketua Pembangkang

Bagaimanapun, Azizah yang kini Adun Kajang perlu bertanding pada PRK terlebih dahulu di kerusi parlimen Permatang Pauh dan memenanginya jika mahu dipilih sebagai Ketua Pembangkang.

Sungguhpun nama timbalan prersiden yang juga ahli parlimen Gombak Mohamad Azmin Ali disebut-sebut bakal mengisi jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen, namun DAP tidak mungkin membentangkan karpet merah untuknya.

Lagipun, dengan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor, beliau mempunyai kekangan tugas untuk sentiasa berada di Parlimen ketika Dewan Rakyat bersidang tiga kali setahun.

Justeru itu, DAP dijangka mengemukakan nama Kit Siang yang juga ahli parlimen Gelang Patah untuk mengambil alih jawatan yang pernah disandang satu ketika dahulu.

Kedudukan DAP yang kini mempunyai 37 kerusi parlimen berbanding PKR (28) dan PAS (21) memberi kelebihan kepada parti itu.

Untuk rekod selepas PRU 13, DAP mempunyai 38 kerusi tetapi hilang satu kerusi parlimen Teluk Intan pada pilihanraya kecil lalu manakala PKR hilang dua kerusi setelah ahli parlimen Bandar Tun Razak Tan Sri Khalid Ibrahim dipecat dari PKR serta kekosongan kerusi Permatang Pauh.

PAS masih kekal dengan 21 kerusi setakat ini dan dengan bilangan kerusi itu mustahil parti itu mahu wakilnya dipilih sebagai Ketua Pembangkang.

Tambahan pula dengan pergeseran yang kerap berlaku antara PAS dengan DAP, sekutunya itu dijangka tidak akan menerima wakil PAS sebagai Ketua Pembangkang.

Sidang Parlimen tahun ini dijangka bermula 9 Mac dan jawatan Ketua Pembangkang dijangka ditentukan oleh Pakatan Rakyat sebelum Dewan Rakyat bersidang.

Sementara itu, PAS akan mengadakan satu mesyuarat khas di kalangan anggota parti bagi memutuskan calon yang layak menggantikan  Anwar sebagai ketua pembangkang sebelum membawa usul itu kepada majlis mesyuarat pimpinan pakatan pembangkang.

Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata notis untuk mengadakan mesyuarat khas itu akan dikeluarkan sebelum mesyuarat itu diadakan dalam masa tiga atau empat hari lagi.

“Saya jangka antara agenda yang mungkin dibincangkan adalah mengenai siapa akan menjadi ketua pembangkang dan juga bagaimana kita hendak memperkukuhkan pakatan rakyat bagi meneruskan agenda perjuangan,” katanya selepas majlis Makan Malam Amal Media bersama Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sebuah restoran di Tok Jembal  Selasa malam.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 February 2015 11:29 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: