Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

KKM: Virus Rabies mungkin dari Kalimantan

4 JULAI: Kementerian Kesihatan tidak menolak bahawa penularan virus Rabies atau anjing gila yang menjangkiti tiga kanak-kanak di Serian, Sarawak berpunca dari Kalimantan, Indonesia.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata sebelum ini terdapat sembilan kes serupa dilapor berlaku di negara itu dalam tempoh terdekat.

“Kemungkinan virus itu dari Kalimantan kerana di sana ada sembilan kes dan ia merebak ke Serian sebelum tiga kanak-kanak itu dijangkiti. Tetapi orang ramai tidak perlu bimbang kerana keadaan adalah terkawal.”

“Setakat ini tiada kes positif virus Rabies baharu dilaporkan di Sarawak atau mana-mana negeri lain. Jabatan Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Veterinar di setiap negeri sentiasa membuat pemantauan,” katanya selepas acara pelepasan Larian Obor Sukan SEA Ke-29 Peringkat Kawasan Parlimen Balik Pulau di Sekolah Kebangsaan Sungai Rusa, Pulau Pinang hari ini.

Sabtu lalu Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan sebagai berkata tiga kanak-kanak termasuk dua beradik, berumur empat, enam dan tujuh tahun di daerah Serian dijangkiti virus berkenaan.

Dr Hilmi yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau menjelaskan bahawa pihaknya sudah mengambil beberapa langkah kawalan dan pencegahan termasuk siasatan menyeluruh mengenai punca sebenar jangkitan rabies di Serian.

Terdahulu Jabatan Perkhidmatan Veterinar  sudah menghantar 6,000 dos vaksin virus Rabies ke Sarawak sejak semalam bagi mengekang penularan virus berkenaan.

Sementara itu, Dr Hilmi berkata tiga kanak-kanak yang dijangkiti virus berkenaan masih kritikal dan sedang mendapat rawatan serta pemantauan rapi doktor pakar di Hospital Umum Sarawak.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 4 July 2017 3:53 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: