Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

KLIA 2 selamat, boleh buka 2 Mei

17  MAC: Perunding bebas, Ikram Premier Consulting (IPC) mendapati Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) selamat digunakan dan boleh dibuka mengikut jadual pada 2 Mei ini.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata laporan awal IPC mengesyorkan supaya keretakan kecil pada apron dan laluan teksi perlu diperbaiki mengikut garis panduan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

Beliau berkata laporan IPC itu, yang memberi tumpuan khusus kepada aspek keselamatan di laluan teksi, apron, landasan dan kawasan persekitaran lain, menyatakan tiada tanda-tanda keretakan pada landasan namun terdapat keretakan kecil pada apron dan laluan teksi.

klia2Laporan perunding itu juga mengesahkan struktur bangunan KLIA2 dalam keadaan baik walaupun terdapat sedikit keretakan di beberapa bahagian struktur bangunan yang perlu diambil tindakan segera.

” Bagi kawasan persekitaran pula, didapati beberapa kawasan mengalami mendapan dan ia perlu diperbaiki meskipun tidak mendatangkan kesan keselamatan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini.

Hishammuddin berkata laporan penilaian itu dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Jumaat lepas, yang kemudian memutuskan supaya laporan itu perlu dikongsi dengan syarikat-syarikat penerbangan yang bakal beroperasi di KLIA2.

“Justeru, saya mengarahkan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) supaya memanggil semua pihak berkepentingan khususnya syarikat-syarikat penerbangan ini untuk mengadakan perbincangan dengan pihak perunding bebas dalam masa terdekat,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Jemaah Menteri juga mengambil maklum bahawa fasa kedua penilaian pihak perunding bebas akan dijalankan pada 14 April ini iaitu tiga minggu sebelum pembukaan KLIA2 bagi memastikan aspek keselamatan di landasan, taxiway (laluan teksi) dan apron parkir dipertingkatkan.

Hishammuddin juga berkata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang diketuai
Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed mengadakan lawatan ke KLIA2 pada Khamis lepas bagi memantau kesediaan terminal itu sebelum beroperasi pada 2 Mei ini.

“Ujian Operational Readiness and Airport Transfer (Kesediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang) (ORAT) juga sedang dilaksanakan dan berjalan dengan lancar.

“Saya selaku menteri yang bertanggungjawab berhubung perkara ini, akan berusaha sehabis baik bagi memastikan aspek keselamatan di KLIA2 sentiasa terjamin dan menjadi keutamaan semua pihak,” katanya. – BERNAMA

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 17 March 2014 11:51 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: