Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

KLIA2 dijangka boleh jalani ujian bulan depan

16 JAN: Peningkatan kos projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Kedua (KLIA2) adalah disebabkan perubahan dalam industri penerbangan dunia, yang sekaligus mengakibatkan perubahan beberapa spesifikasi dalam komponen pembinaan projek itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Bagaimanapun kata Nur Jazlan, ia tidak akan terus meningkat lagi melebihi RM4 bilion memandangkan projek pembinaan lapangan terbang berkenaan kini sudah diperingkat akhir dan dijangka siap untuk diuji hujung bulan ini.

Nur Jazlan

Datuk Nur Jazlan Mohamed
Pengerusi PAC

“Sehubungan itu kita menjangkakan pada bulan hadapan ujian Operational Readiness and Airport Transfer atau ORAT (Kesediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang) bagi menguji kemampuan sebenar fasiliti di KLIA2 boleh dilaksanakan,” jelas Nur Jazlan sambil mengesahkan jadual siap projek setakat ini tidak berubah iaitu pada Mei ini.

Katanya PAC berharap dapat turut serta dalam ujian ORAT itu bagi menilai sama ada kualiti kemudahan itu sesuai dengan nilai wang yang dilaburkan kerana KLIA2 akan menjadi sebahagian daripada KLIA sedia ada iaitu pintu masuk utama  negara.

“Fokus kita ialah supaya kemudahan disediakan benar-benar berkualiti agar dapat menampung jumlah pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 serta tidak menjejaskan imej negara.

“Manakala soal kos pula di luar bidang tugas PAC kerana projek itu dibiayai sepenuhnya syarikat swasta tanpa membabitkan wang kerajaan sama sekali,” kata beliau selepas mendengar taklimat daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Long See Wool mengenai perkembangan projek KLIA2 di Bangunan Parlimen pada Khamis.

Kos KLIA2 melonjak dari RM2 bilion pada 2009 kepada RM3.9 bilion berikutan kapasiti terminal dari dinaiktaraf  daripada 30 juta kepada 45 juta penumpang.

Malaysia Airport Berhad (MAHB) sebagai pemaju juga menambah pembinaan landasan kapal terbang ketiga dan sistem pengurusan bagasi automatik atas permintaan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa atau International Air Transport Association (IATA).-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 January 2014 4:26 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: