Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kontraktor tepati syarat sahaja diberi projek kerajaan

9 NOV: Projek kerajaan hanya diberikan kepada kontraktor yang telah dikenal pasti layak dengan menepati syarat-syarat telah ditetapkan Kementerian Kewangan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kementeriannya tidak menganugerahkan projek berdasarkan individu atau siapa kontraktor berkenaan.

“Siapa kontraktor itu kita tidak tentukan sama ada mesti ahli Parlimen di kawasan tersebut, ADUN ke atau ketua bahagian parti di situ.

“Siapa sahaja boleh dilantik dan KKLW hanya memberi kontrak kalau kontraktor itu layak dari segi peraturan yang dipenuhi kontraktor tersebut,” tegas Ismail Sabri ketika pergulungan Bajet 2018 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Ahli Parlimen Bera itu menjelaskan perkara tersebut bagi menjawab celahan Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Jumat Idris yang membangkitkan dirinya menghadapi kesukaran mendapat maklumat berkaitan projek KKLW yang sedang dilaksanakan di kawasan parlimennya.

Jumat mempersoalkan kontraktor yang membina projek jalan raya di kawasannya adalah orang luar dan menyukarkan para pemimpin masyarakat tempatan termasuk dirinya mendapatkan maklumat terkini berkaitan projek tersebut.

Bagaimanapun menurut Ismail Sabri, kontraktor yang tidak mengikuti spesifikasi terkandung dalam perjanjian kontrak boleh dikenakan tindakan.

“Kualiti jalan kita boleh siasat. Kita minta pegawai kita siasat perkara tersebut kerana kontraktor mesti mengikut spesifikasi yang terdapat dalam kontrak tersebut.

“Kalau kontraktor gagal dan kerjanya tidak berkualiti, kita boleh ambil tindakan pada kontraktor berkenaan,” jelas Ismail Sabri.

Bajet 2018 memperuntukkan KKLW sebanyak RM9.48 bilion.

Peruntukkan ini meningkat dari tahun sebelumnya sebanyak 6.66 peratus.

Pihak kerajaan juga mengekalkan tumpuan utama pembangunan kepada Sabah dan Sarawak dengan 52.5 peratus daripada peruntukkan tersebut adalah untuk kedua-dua negeri borneo itu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 9 November 2017 8:29 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: