Kategori Berita Antarabangsa

Kotak hitam pesawat US-Bangla Airlines ditemui

13 MAC: Para penyiasat berjaya mendapatkan data daripada kotak hitam pesawat Bangladesh yang terhempas dan mengorbankan 49 mangsa termasuk anak kapal ketika cuba mendarat di ibu negara Nepal itu.

Syarikat penerbangan dan pihak berkuasa lapangan terbang di Kathmandu menunding jari sesama sendiri selepas insiden terburuk di negara tersebut sejak 1992.

“Perakam data penerbangan telah ditemui dan kami menyimpannya dengan selamat,” kata Pengurus Besar Lapangan Terbang, Kumar Chetti sambil menambah siasatan terhadap kemalangan tersebut telah pun bermula.

Pesawat Bombardier Q400 membawa 71 orang daripada Dhaka cuba melakukan pendaratan ketika cuaca buruk.

Pengendali penerbangan US-Bangla Airlines berkata, Kapten Abid Sultan, bekas juruterbang Tentera Udara Bangladesh telah melakukan pendaratan lebih 100 kali di Kathmandu di mana angin kencang dan burung sering menjadi masalah besar.

Sultan mempunyai lebih 5,000 jam penerbangan dan dilatih khusus untuk mendarat di lapangan tersebut, kata jurucakap syarikat berkenaan, Kamrul Islam.

US-Bangla Airlines turut menafikan laporan media yang mengatakan pesawat berkenaan pernah tergelincir daripada landasan pada 2015.

“Ia tidak mengalami apa-apa kemalangan dan tidak juga menghadapi masalah teknikal,” katanya.

Mempertahankan juruterbangnya, Ketua Eksekutif syarikat penerbangan tersebut, Imran Asif berkata, satu transkrip perbualan radio dengan bahagian kawalan di darat di Kathmandu telah dikeluarkan oleh laman web keselamatan udara Jerman, JACDEC.

“Kami syak ada kesilapan petunjuk daripada bilik kawalan trafik udara yang menyebabkan kemalangan tersebut.

“Perbualan selama tiga minit di antara juruterbang dan pusat kawalan udara sebelum pendaratan menunjukkan mereka telah menghantar petunjuk yang salah kepada juruterbang,” katanya kepada pemberita.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 March 2018 5:33 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: