Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

KPDNKK sasar 3,000 KR1M 2.0 di seluruh negara

31 OKT: 3,000 Kedai Rakyat 1 Malaysia (KRIM) 2.0 bakal dibuka di seluruh negara pada tahun 2018.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sasaran ini adalah strategi utama KR1M 2.0 bagi memberi manfaat kepada rakyat menikmati harga yang lebih kompetitif disamping kualiti barangan setanding dengan kedai-kedai lain.

Menurut Hamzah, kos infrastruktur, kos logistik dan kos lain yang berkaitan dapat dikurangkan jika KRIM 2.0 berjaya diwujudkan lebih banyak lagi di seluruh negara berbanding jumlah bilangan sebelum ini iaitu 185 buah kedai.

“Kalau kita dapat mencapai purata 3,000 kedai KR1M pada tahun 2018, maka bermakna kalau kita nak menampung kos infrastruktur, nak membangunkan pusat pengagihan barangan (Distibution Centre), ianya pasti dapat mengurangkan kos logistik.

“Ia juga akan dapat menampung kos-kos yang berkaitan apabila berjaya mewujudkan kedai KR1M 2.0 di seluruh negara,” jelasnya kepada Dewan Rakyat pada sesi pertanyaan lisan, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Mersing Datuk Dr Latiff Ahmad yang bertanyakan kos logistik adalah faktor beberapa KR1M di luar bandar terpaksa ditutup.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan menghadapi kesukaran untuk membayar sepenuhnya kos infrastrukutur dan logistik kepada KR1M terutamanya di luar bandar.

Malah, jumlah KR1M yang sedikit turut menjadikan faktor kos-kos berkenaan tidak dapat diserap sepenuhnya oleh kerajaan.

“Sebelum ini kita hanya dapat membayar kos infrastruktur dan kos logistik secara purata dan tidak sepenuhnya.

“KR1M yang berada di luar bandar memang terpaksa menanggung kos lebih tinggi dan kita tidak dapat membayar sepenuhnya kos yang dituntut sebelum ini,” jelasnya.

Dalam pada masa sama, Hamzah yakin KR1M 2.0 akan tampil lebih baik daripada sebelum ini apabila orang ramai boleh mendapati lebih 80 jenis barangan berjenama disamping barangan keperluan asas harian di kedai-kedai tersebut.

“KR1M 2.0 akan tampil dengan model perniagaan baru dan kita sedang mengadakan kerjasama dengan beberapa operator untuk bersama mengendalikannya.

“Maka dengan itu, strategi KR1M 2.0 bukan hanya untuk beberapa barangan keperluan asas, tetapi sekurang-kurangnya melibatkan 80 barangan berjenama daripada syarikat multinasional seperti Nestle, Coca Cola, dan sebagainya,” katanya.

Pada 1 September lalu, KPDNKK telah menutup sementara semua KR1M di seluruh negara untuk persediaan penjenamaan semula yang dikenali KR1M 2.0

Sebelum ini, Mydin telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi pengendali KR1M yang telah diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2011.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 31 October 2017 12:42 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: