Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

KPDNKK sita lesen sebuah stesen minyak di Ajil

4 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu telah menyita lesen sebuah stesen minyak di Ajil, Hulu Terengganu kerana tidak menyediakan stok bekalan minyak yang mencukupi dalam satu operasi yang diadakan malam tadi.

Pengarah KPDNKK Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata kes itu adalah yang pertama untuk tahun ini dan pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci serta pemantauan secara berterusan.

“Siasatan dijalankan hasil pemantauan 32 pegawai penguat kuasa di 66 stesen minyak di seluruh Terengganu, yang bermula kira-kira 9 malam tadi (Rabu).

“Setelah kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak tiga sen seliter bagi RON 95 dan RON 97 serta enam sen seliter bagi diesel petang semalam, kami terus menjalankan pemantuan kerana ini merupakan rutin mingguan Pegawai Penguat kuasa KPDNKK apabila berlaku perubahan harga setiap Rabu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tindakan ke atas pemilik stesen itu dibuat kerana didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, yang mana peniaga tidak mematuhi syarat lesen.

Saharuddin berkata tindakan itu dilakukan untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan-peraturan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan juga melindungi pengguna bagi memastikan bekalan petrol dan diesel sentiasa mencukupi.

“Bagaimanapun KPDNKK Terengganu masih membenarkan stesen minyak itu terus beroperasi kecuali satu pam yang tidak menyediakan bekalan minyak dalam operasi semalam kerana kepentingan orang ramai.

“Semua pengusaha stesen minyak diminta supaya mematuhi peraturan dan kami meminta kerjasama pengguna agar memaklumkan kepada KPDNKK sekiranya berlaku sebarang pelanggaran pematuhan seperti dinyatakan tadi,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 4 January 2018 11:57 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: