Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

KPKT bantu tuntutan sivil mangsa penipuan rumah

31 OKT: Mangsa penipuan rumah akan dibantu Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan memberikan khidmat tuntutan sivil bagi mendapatkan semula wang daripada pemaju.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, setakat ini seramai 300 mangsa penipuan pembelian rumah sudah membuat aduan kepada KPKT.

“Kementerian berusaha bantu dari segi tuntutan sivil untuk mendapatkan balik semula wang mereka daripada pemaju,” kata Noh semasa sesi soalan lisan di Dewan Rakyat, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PAS Hulu Langat, Che Rosli Che Mat yang bertanya apakah tindakan KPKT dalam menangani masalah penipuan pembeli rumah.

Ini kerana kebanyakkan mangsa terdiri daripada pesara kerajaan dan warga emas.

Jelas Noh lagi, selain memberikan bantuan tuntutan sivil, kementerian juga membantu mangsa penipuan dengan dua bantuan lain untuk memastikan mereka memiliki rumah untuk didiami.

“Kementerian akan bantu mereka yang tinggal dalam kawasan bandar, pihak kementerian akan memberi kelulusan khas kepada mereka untuk membeli rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Kedua, bagi yang ada tanah kementerian akan buat tawaran supaya diberi kelulusan khas pinjaman perumahan. Kementerian akan beri RM60,000 untuk mereka membina rumah mereka,” ujarnya lagi.

Noh berkata, dengan bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban mangsa penipuan rumah sementara menunggu mendapatkan semula wang mereka.

Selain bantuan kementerian, Noh juga berkata, tindakan polis juga sedang diambil ke atas pemaju yang terlibat di bawah Kanun Keseksaan Jenayah dan pengubahan wang haram.

Kementerian, katanya, sudah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan penipuan rumah mampu milik yang dijalankan oleh beberapa syarikat di bawah skim perumahan yang tidak sah.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 31 October 2017 1:13 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: