Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

KPKT giatkan kempen kesedaran penghuni PPR

20 JAN: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menggiatkan pelbagai kempen kesedaran bagi mengurangkan risiko kemalangan akibat sikap segelintir penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang membaling objek dari tingkat atas.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, kempen menanam budaya menjaga keselamatan bersama penting agar kejadian buruk terutama kes meragut nyawa yang berlaku di PPR Sri Pantai, Pantai Dalam baru baru ini, tidak berulang.

“Kami berharap kempen seperti ini menanam kesedaran kepada semua penghuni supaya menjaga keselamatan orang lain dengan tidak membuang sampah atau sebarang objek berbahaya ke bawah.

“Kalau diikutkan, air pun tidak boleh dibuang sebab kita tidak tahu siapa yang berada di bawah,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Selangor di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), hari ini.

Terdahulu, seramai 659 nelayan di Parlimen Tanjong Karang menerima elaun sara hidup masing-masing antara RM150 hingga RM300 setiap seorang dengan peruntukan sebanyak RM188,300.

Noh yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor berkata, beliau turut meminta persatuan penduduk di setiap PPR di bawah KPKT untuk bersama-sama mengingatkan penduduk selain menanam budaya menjaga keselamatan.

“Persatuan penduduk PPR akan meletakkan risalah di dalam lif dan sebagainya sebagai sebahagian daripada kempen ini,” katanya.

Ditanya sama ada kementeriannya akan memasang jaring di blok PPR seperti yang akan dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Noh berkata, setakat ini belum ada cadangan seperti itu.

“Kementerian tidak bercadang memasang jaring PPR yang di bawah pengurusan KPKT,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 January 2018 11:59 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: