Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

KPKT: Negeri digesa guna undang kecil bangunan

1 JULAI: Semua kerajaan negeri perlu segera menerima pakai Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS) 1984 (Pindaan 2012) dalam mencegah kebakaran bangunan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar berkata adalah penting melaksanakan undang-undang kecil itu demi memastikan keselamatan nyawa orang awam berikutan percambahan pembinaan kediaman strata di seluruh negara.

Kebakaran boleh dielak jika mempunyai langkah pencegahan awal ( foto hiasan).

“KPKT akan minta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghantar surat kepada semua kerajaan negeri untuk mengingatkan mereka supaya menerima pakai Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (Pindaan 2012) dalam mencegah kebakaran bangunan.

“Undang-undang ini kita telah luluskan tapi peringkat negeri kena terima pakai, saya harap semua negeri dapat melaksanakannya mulai sekarang,” katanya kepada pemberita pada rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Tanjong Karang di sini, hari ini.

Noh mengulas laporan akhbar hari ini bahawa masih banyak negeri belum menerima pakai undang-undang berkenaan, yang antara lain bertujuan memastikan premis bangunan diselenggara dengan lebih baik termasuk dari aspek pencegahan kebakaran.

Menurut laporan itu, undang-undang kecil itu yang diluluskan sejak lima tahun lepas hanya diwartakan oleh lima negeri iaitu Sabah, Selangor, Terengganu dan Pulau Pinang manakala Sarawak mempunyai ordinan bangunannya tersendiri.

Mengikut undang-undang itu,  semua bangunan kediaman yang dibina melebihi 30 meter atau 10 tingkat selepas 2012 di empat negeri itu, mesti dilengkapi dengan pengesan kebakaran manakala premis kediaman di bawah 18 meter yang dibina selepas 2012 mestilah dilengkapi dengan pemadam api.

Menjelas lanjut, Noh berkata insiden kebakaran bangunan pangsapuri di London, United Kingdom sehingga mengorban banyak nyawa baru-baru ini perlu dijadikan iktibar dan membuktikan pelaksanaan undang-undang kecil itu tidak boleh diambil mudah.

“Kesedaran untuk memasang alat-alat pencegahan kebakaran harus diambil serius bagi membolehkan langkah pemadaman awal dilakukan.

Menurut rekod, pada tahun lepas, insiden kebakaran meragut 107 nyawa selain mencederakan 477 yang lain dan melibatkan kerugian RM2.86 bilion.

Dalam isu lain, Noh menegaskan KPKT telah menyalurkan lebih RM400 juta kepada beberapa negeri yang memerlukan pembiayaan pembaikan semula bangunan kediaman demi menjaga kemaslahatan rakyat.

Komitmen itu sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa kementerian itu hanya memberi tumpuan kepada masalah perumahan rakyat di Selangor sahaja, katanya.

“Jumlah perumahan dan pangsapuri kos rendah yang paling banyak adalah di Lembah Klang. Jika ada pihak kata saya hanya menjaga (kebajikan) rakyat Selangor, ia adalah disebabkan perkara berkenaan.

“Namun, setiap negeri yang saya lawati, pasti ada peruntukan yang diluluskan KPKT hasil permohonan daripada agensi terlibat, bukan setakat di Selangor saja,” kata beliau.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 1 July 2017 11:05 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: