Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

KPT arah IPT tangguh aktiviti luar

16 MEI: Institut pengajian tinggi di negara ini diarah menangguhkan aktiviti luar berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching berkata kementerian memandang serius kejadian yang mengorbankan dua penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam akibat dihempap pokok serta mencederakan enam yang lain semasa mengikuti aktiviti luar.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching (kanan) melawat Muhammad Haziq Radzuan (kiri).

Katanya, kementerian akan melakukan siasatan dalaman selain menilai garis panduan (SOP) pelaksanaan aktiviti seumpama itu.

Dalam insiden tiga hari lalu,, semua mangsa menjalani latihan ikhtiar hidup di Air Terjun Lata Charok, Janda Baik, Bentong, Pahang.

Mereka adalah antara 140 penuntut dan empat pensyarah yang mengikut program ‘Ukhwah dan Pemantapan Jati Diri Pelajar Pendidikan Jasmani dan Kesihatan’ dari 12 hingga 14 Mei.

“Siasatan akan dijalankan dan saya tidak akan memberi sebarang komen tentang SOP sehingga kita memperoleh hasil siasatan.

“Saya tidak boleh komen berapa lama siasatan akan diambil. Beri kami masa. Saya cukup kecewa apabila menerima berita itu,” katanya selepas melawat Muhammad Haziq Radzuan, seorang daripada mangsa yang mengalami kecederaan, Selasa.

Pada masa sama, Yap berkata kementerian turut mengarahkan UiTM mengambil tindakan segera untuk menjaga kebajikan mahasiswa yang terlibat dengan memberi khidmat kaunseling dan bantuan yang diperlukan.

“UiTM juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkaitan seperti Jabatan Perhutanan dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berkaitan dengan insiden ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Jabatan Neurosurgeri Hospital Kuala Lumpur, Dr Paul Vijayandran berkata Muhammad Haziq sedang melalui proses pemulihan yang baik dan tidak menghadapi sebarang komplikasi daripada pembedahan.

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 May 2017 6:44 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: