Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Ku Li mahu PERKASA terus positif walau dikritik hebat

 

22 DIS: Walau Pertubuhan Pribumi Perkasa atau ringkasnya PERKASA dilabel dengan pelbagai gelaran negatif, ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mahu pertubuhan itu terus berfikiran positif dan menganggap ia sebagai satu cabaran.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li berkata, keadaan itu harus diambil sebagai indikator bahawa PERKASA dilihat lebih wujud dan manfaat kewujudannya dirasakan oleh semua masyarakat Malaysia.

Ku Li2

Tengku Razaleigh Hamzah

“Tanpa berselindung, dukacita saya katakan PERKASA hari ini membawa konotasi yang tidak baik. PERKASA dianggap ultra, radikal, rasis dan tidak bertanggungjawab oleh setengah masyarakat bukan Melayu dan lebih mendukacitakan diremehkan, atau diperlekehkan oleh masyarakat Melayu yang seharusnya merupakan masyarakat yang dibela oleh PERKASA.

“Lebih parah, PERKASA dilihat sebagai pemecah perpaduan kaum yang selama ini menjadi tunjang kestabilan Malaysia. Inilah persepsi yang cukup negatif dan mudah-mudahan ianya hanya dari perspektif golongan yang ekstrim, berkepentingan atau bias (berat sebelah),” kata Ku Li dalam ucapan perasmian Persidangan Agung Tahunan PERKASA Kali Ke-4 di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur, Ahad.

Bagaimanapun, jelas beliau terdapat juga persepsi positif yang meletakkan PERKASA di tahap nilai yang tinggi dan mengagumi kewujudannya walaupun ini tidaklah sebanyak atau semarak persepsi yang negatif.

“Apa pun, saya saran agar kita tidak usah berdebat mengenai benar atau tidak persepsi ini. Lebih-lebih lagi perkara ini adalah merupakan sesuatu yang subjektif. Tidak ada kebenaran yang mutlak, dan benar atau tidak, adalah terletakhak kepada setiap yang menilai,” katanya.

Justeru itu, beliau mahu setiap ahli PERKASA mengetahui dengan jelas dan faham rasional dan tujuan penubuhan serta keberadaannya.

“Kita tidak mahu oleh kerana tindakan atau perlakuan segelintir anggota yang tidak menepati aspirasi ini akan merosakkan imej keseluruhan pertubuhan.

“Jikalau ditimbang secara halus, persepsi negatif yang berkisar adalah tidak selaras dengan semangat dan tujuan penubuhan PERKASA. Malah persepsi negatif ini adalah bertentangan sama sekali dan menyangkal hasrat PERKASA untuk wujud sebagai
pemangkin perpaduan di Malaysia,” jelas beliau.-bnbbc.my

Tengku Razaleigh Hamzah menerima anugerah khas Bintang Pahlawan Peribumi Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) daripada Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali (tunduk) pada Perhimpunan Agung PERKASA Malaysia Ke-4, Ahad.

Tengku Razaleigh Hamzah menerima anugerah khas Bintang Pahlawan Peribumi Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) daripada Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali (tunduk) pada Perhimpunan Agung PERKASA Malaysia Ke-4, Ahad.-foto BERNAMA

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 22 December 2013 4:02 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: