Kategori Berita Utama

Ku Nan beri jaminan Taman Rimba Kiara tak terjejas

4 NOV: Projek perumahan di Bukit Kiara yang sedang rancak berjalan tidak akan menjejaskan Taman Rimba Kiara.

Menegaskan perkara yang sama sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata jaminan itu diberikan kepada penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) supaya tidak bimbang dengan pembangunan yang bakal disiapkan.

“Masa sudah berubah dan kita perlu melihat bagaimana ruang boleh dibangunkan untuk menampung populasi KL yang semakin meningkat.

“Anda di TTDI sudah tinggal di ruang yang sangat bagus selama 30 tahun yang lalu tetapi di luar sana terdapat banyak orang yang memerlukan perumahan,” katanya pada dialog Bicara Rakyat @ TTDI yang diadakan di Pusat Komuniti TTDI, malam tadi.

Projek membabitkan pembinaan 1,766 unit pangsapuri perkhidmatan dan 350 unit pangsapuri mampu milik itu dilaporkan mendapat bantahan penduduk sekitar kerana dibimbangi akan mengorbankan kawasan hijau terakhir yang masih ada di ibu negara.

Pembangunan projek pangsapuri mampu milik 29 tingkat serta lapan blok pangsapuri perkhidmatan itu juga dibantah kerana didakwa boleh menambah kepadatan penduduk daripada 74 orang bagi setiap 0.4 hektar kepada 979 orang untuk keluasan sama.

Tengku Adnan sebelum ini dilaporkan berkata projek itu akan tetap diteruskan dan 180 unit daripada blok pangsapuri mampu milik tersebut akan diberi percuma kepada bekas pekerja estet kaum India yang merupakan penduduk asal sebelum kawasan TTDI dibangunkan seperti yang dijanjikan sejak 30 tahun lalu.

Bagaimanapun projek pembangunan unit kediaman di atas tapak Taman Rimba Kiara masih belum  mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 4 November 2017 11:07 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: