Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Ku Nan: Masyarakat perlu bantu kesan golongan miskin

20 MEI: Masyarakat terutama pertubuhan bukan kerajaan digesa memainkan peranan proaktif dalam mengesan golongan yang hidup melarat di Kuala Lumpur untuk diberikan bantuan sewajarnya daripada kerajaan.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan mereka mestilah menjadi mata dan telinga kerajaan dalam membasmi kemiskinan.

“Oleh itu, persatuan penduduk, jawatankuasa rumah ibadat seperti masjid dan tokong boleh membantu mengesan penduduk di kawasan mereka yang memerlukan bantuan,” jelasnya.

Tengku Adnan atau dikenali Ku Nan berkata demikian ketika ucapan Majlis Sumbangan Persatuan Penduduk WPKL, Surau PA/PPR DBKL dan golongan miskin bandar, di Institut Latihan DBKL, Cheras, Sabtu.

Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Loga Bala Mohan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz serta pemimpin masyarakat setempat.

Tegas beliau, program berbentuk kemasyarakatan perlu digerakkan lebih agresif sebagai satu strategi mengesan golongan kurang berkemampuan.

“Misalnya, melalui program gotong royong, mencantikkan kawasan taman, mengecat surau atau tokong, dan sebagainya, masa inilah kita boleh bertanya khabar, mengetahui dan mengambil berat penduduk di kawasan kita.

“Kemudan buat aduan kepada DBKL tentang masalah rakyat yang perlukan bantuan, insyallah kita akan bantu mereka,” jelas Ahli Parlimen Putrajaya itu.

Sementara itu, 381 persatuan penduduk yang berdaftar dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur diberikan sumbangan sebanyak RM10,000 untuk mengerakkan aktiviti komuniti.

Manakala 56 buah surau diberikan sumbangan RM5,000 untuk digunakan melaksanakan pelbagai program komuniti keagamaan

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 May 2017 1:33 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: