Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Ku Nan mohon maaf sebab sampah dilonggok tepi MRR2 pula

23 DIS: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memohon maaf kepada warga kota, pengguna lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) dan semua pihak yang terjejas akibat longgokan sampah di bahu jalan berhampiran Pusat Pemindahan Sampah di Taman Beringin, Jinjang sejak tiga hari lalu.

Setelah Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Salleh Yusop sekadar memberi kenyataan kepada media perkara itu akan disiasat sambil meminta orang ramai bersabar, Tengku Adnan atau dikenali juga sebagai Ku Nan bertindak turun sendiri meninjau lokasi berkenaan lewat petang semalam.

“Tadi saya telah pergi sendiri ke tranfer station Pembuangan Sampah di Taman Beringin, Jinjang yang ditutup kelmarin. Pusat ini telah diambil alih oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dari DBKL tapi belum beroperasi.

“Saya telah melihat sendiri apa yg berlaku di sana. Oleh itu saya mohon maaf pada semua pihak yang terpaksa menghadapi kesulitan terutamanya kepada warga kota dan pemandu-pemandu lori (mengangkut sampah) yang terlibat dalam pembuangan sampah di sini,” kata Ku Nan dalam laman Facebook beliau

Tambah beliau lagi, tindakan segera telah dibuat dan segala kerumitan yang berlaku akan segera ditangani oleh DBKL serta pihak berwajib.

“Keprihatinan dan sokongan semua amat dihargai,” katanya yang terpaksa memohon maaf sebanyak dua kali dalam tempoh selang sehari – kali pertama kelmarin kerana kenyataannya mengenai hartanah dan wanita disalahtafsir.

Pada Sabtu, media melaporkan ara-gara Pusat Pemindahan Sampah di Taman Beringin ditutup awal kerana kerosakan mesin pemampat, kira-kira 2,000 tan sampah dilonggok di bahu jalan MMR2 berhampiran Kepong.

Longgokan sampah itu menyebabkan kesesakan jalan yang teruk di lebihraya berkenaan selain penduduk dan pengguna jalan raya terpaksa menghidu bau yang meloyakan.

Difahamkan kontraktor sampah terpaksa melonggokkan sampah yang dikutip mereka di situ kerana tiada pilihan selepas tidak dimaklumkan lebih awal mengenai penutupan pusat itu.

Sementara itu tinjauan media di situ petang Ahad mendapati sebahagian besar sampah sudah dibersihkan oleh DBKL yang menerima aduan daripada penduduk.

“DBKL akan siasat perkara ini, saya harap penduduk dapat bersabar sementara menunggu kerja-kerja pembersihan dijalankan,” kata Ketua Pengarah DBKL Datuk Salleh Yusop ketika dihubungi.

Beliau juga tidak dapat memberi jangkaan bila pusat pemindahan sampah itu akan dibuka semula.-bnbbc.my

TA lawat sampah

Ku Nan melampirkan gambar lawatannya ke lokasi lebih 2,000 tan sampah dilonggok di bahu jalan MRR2 dan meminta maaf kepada semua yang mengalami kesulitan akibat kejadian itu.

Sampah tepi MRR2

Tepi jalan busuk, tengah jalan sesak…gambar yang dirakamkan di MRR2 berhampiran Pusat Pemindahan Sampah Taman Beringin, Jinjang pada Sabtu.

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 23 December 2013 11:09 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: